Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyemak laporan penahanan ahli perniagaan kontroversi Jho Taek Low atau Jho Low di China.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, dakwaan penahanan itu masih disemak.

“Saya masih belum dimaklumkan berhubung perkara itu. Biar kita semak dahulu untuk pastikan perkara itu,” katanya.

Lokasi sebenar Jho Low masih belum dapat dipastikan, namun berdasarkan risikan pihaknya, Jho Low dilaporkan berada di Hong Kong, China, Macau dan Taiwan.

Fuzi turut mengesahkan Interpol sudah mengeluarkan notis merah terhadap Jho Low, iaitu notis yang terpakai di semua negara anggota agensi polis antarabangsa itu.

Katanya, sekiranya lokasi terbaru Jho Low telah dikenal pasti, PDRM akan memberi tumpuan di negara tersebut.

“Kita akan dapatkan bantuan negara itu untuk bantuan. Usaha menjejak Jho Low adalah berterusan,” katanya lagi.

BACA: Jho Low ditahan? Tun M alu-alukan tindakan

Selain dikehendaki di Malaysia dan Singapura, Jho Low turut dinamakan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) sebagai dalang penyelewengan wang daripada dana 1MDB yang kemudiannya dibelanjakan di negara itu.

Awal hari ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau mengalu-alukan laporan yang mendakwa ahli perniagaan yang menjadi buruan Low Taek Jho atau Jho Low ditangkap di China.

Bagaimanapun, Dr Mahathir menyatakan bahawa beliau tidak dimaklumkan berkenaan perkara tersebut. Beliau berkata demikian sehubungan dengan laporan sebuah radio di Hong Kong yang melaporkan ahli perniagaan warga Malaysia itu telah ditahan di negara itu.