Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) menggariskan empat cadangan penambahbaikan kepada kerajaan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) lanjutan penilaian Laporan Tahunan SPRM 2013.

Pengerusinya, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, kerajaan perlu mewajibkan tapisan SPRM sebagai salah satu kriteria pelantikan anggota pentadbiran dan Pengerusi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

Ini kerana pelantikan individu yang diragui integriti boleh menimbulkan persepsi kurang baik kepada masyarakat pada masa sama memberi tanggapan negatif terhadap kerajaan.

Dalam pada itu, JKMR turut mencadangkan penubuhan entiti pemantau Polis Di Raja Malaysia (PDRM) seperti mana Jawatankuasa Aduan SPRM sebagai mekanisme semak dan imbang ('check and balance') bagi memantau keberkesanan fungsi jabatan tersebut.

Berhubung sindiket perjudian tanpa lesen dan gejala aktiviti maksiat, JKMR mengesyorkan kerajaan untuk memikirkan satu pindaan undang-undang yang baharu untuk membanteras gejala tersebut.

Selain itu, JKMR melihat isu pencerobohan tanah secara haram perlu dipandang serius dengan mencadangkan supaya SPRM menyertai Jawatankuasa Khas yang ditubuhkan kerajaan.

Abu Zahar yang juga Yang Dipertua Dewan Negara berkata demikian pada sidang media Laporan Tahunan JKMR di lobi Parlimen, pada Isnin.

Ujar Abu Zahar, JKMR juga mengambil maklum dan menyambut baik pengiktirafan Panel Penilaian Antarabangsa (IRP) terhadap pelaksanaan Program Transformasi SPRM yang mempunyai lebih 30 inisiatif setakat ini.

SPRM telah memperkukuh sistem dan prosedur agensi-agensi kerajaan dengan mengemukakan 427 cadangan penambahbaikan terhadap kelemahan-kelemahan yang dikenal pasti boleh membuka ruang dan peluang rasuah.

Malaysia memperbaiki kedudukan dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2014 naik tiga anak tangga ke kedudukan 50 daripada 175 negara.

Tahun lalu, Malaysia mencatat kedudukan ke-53 dalam indeks yang dikeluarkan oleh Transparency International (TI) itu.

Berdasarkan ukuran skor pula, Malaysia mencatat skor 52 berbanding 50 pada tahun lalu. Ia merupakan yang tertinggi pernah dicatat Malaysia sejak 2004.

Selain itu, Malaysia juga merupakan negara kedua tahap rasuah paling rendah di belakang Singapura yang berada pada kedudukan ketujuh.