Status Pulau Kukup sebagai Taman Negara Johor perlu dikekalkan.

Perkara ini diumumkan oleh Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar setelah mendapat keputusan melalui mesyuarat kabinet pada 7 Disember lalu.

Kerajaan pusat berhasrat mengekalkan status Taman Negara untuk Pulau Kukup adalah untuk memastikan kawasan tersebut terus kekal sebagai pulau paya bakau tidak berpenghuni kedua terbesar di dunia dan satu-satunya di perairan Negeri Johor.

Pulau Kukup juga telah diisytiharkan sebagai kawasan berkepentingan antarabangsa di bawah Konvensyen Ramsar, kerana menurut kerajaan 'ia mempunyai ekosistem pulau bakau yang jarang ditemui dan diancam kepupusan merupakan khazanah biodiversiti yang tidak ternilai kepada negara dan kepada negeri Johor khususnya'.

Kerajaan juga menyatakan bahawa Pulau Kukup 'telah dikenal pasti sebagai kawasan persinggahan burung migrasi, tempat pembiakan dan perlindungan hidupan liar terancam seperti Burung Botak, Bangau Cina dan Pacat Bakau serta sumber perikanan dan akuakultur negara'.

"Pertukaran status kawasan ini sudah tentu boleh memberi kesan kepada pengiktirafannya sebagai kawasan berkepentingan antarabangsa yang telah diterima serta menjejaskan reputasi negara dalam memulihara biodiversiti," kata Dr. Xavier melalui kenyataan beliau.