Kementerian Kewangan menjelaskan kadar pemalsuan mata wang Malaysia adalah berada di tahap yang rendah berbanding negara-negara lain.

Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah memberitahu, mata wang negara dilengkapi antara 10 hingga 15 ciri-ciri keselamatan bagi mengelakkan isu pemalsuan mata wang tempatan ini.

"Saya akui ada kes-kes terpencil tetapi berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), kadar pemalsuan mata wang adalah rendah.

"Nisbah pemalsuan mata wang mengikut setiap juta (ppm) pada tahun 2016 adalah 1.4 helai manakala bagi tahun 2019 adalah 1.2, sementara pada separuh suku pertama tahun ini adalah 1.0," katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat di sini, pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Datuk Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengenai aktiviti pengedaran mata wang palsu yang dilaporkan semakin membimbangkan.

Mohd Shahar juga memberi jaminan bahawa pihak berkuasa akan menyiasat mengenai kewujudan mata wang palsu sekiranya terdapat aduan.

Terdahulu, ketika menjawab soalan Pang Hok Liong (DAP-Labis) mengenai cadangan untuk menggantikan wang kertas baharu berikutan dakwaan lambakan simpanan mata wang tempatan oleh individu tertentu, beliau berkata, kos untuk mencetak semula wang kertas adalah tinggi.

"Misalnya kos cetak semula wang-wang yang lusuh bagi setahun adalah antara RM250 juta dan RM340 juta," jelasnya.

Namun demikian beliau memberitahu, kerajaan akan sentiasa memikirkan kos optimum dalam memastikan wang yang digunakan dalam edaran adalah wang yang selamat.