Gara-gara tertekan gear mengundur, seorang lelaki yang baru selesai mendapatkan rawatan telah melanggar kaunter saringan Jabatan Pesakit Luar di Hospital Kuala Kangsar, dekat sini pada malam Ahad.

Dalam kejadian sekitar 8.30 malam itu, pemandu berkenaan yang dipercayai baru mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma telah pergi ke kenderaannya untuk pulang ke rumah.

Difahamkan, menurut sumber, pemandu yang ketika itu membawa kenderaan jenis Proton Exora telah tersilap memasukkan gear mengundur atau reverse dan melanggar kaunter saringan berkenaan.

Malah, sebaik sahaja perlanggaran berkenaan berlaku suasana di perkarangan hospital tersebut bertukar kecoh seketika apabila pesakit dan kakitangan keluar untuk melihat insiden itu.

Menurut saksi kejadian, yang hanya ingin dikenali sebagai Aiza, lelaki tersebut baru sahaja selesai menerima rawatan dan pada ketika itu hendak pulang ke rumahnya.

“Pada pandangan kasar saya, pakcik itu kelihatan tidak sihat, dan sebenarnya agak lemah sebelum dia terima rawatan di Jabatan Trauma dan Kecemasan.

“Tidak lama kemudian, saya terdengar dentuman seperti rempuhan yang amat kuat, dan segera ke luar perkarangan jabatan itu, sebelum ternampak pakcik itu terlanggar kaunter. Memang agak kelam-kabut masa itu,”ujarnya.

Aiza berkata, difahamkan tiada kakitangan atau pesakit berada di kaunter itu justeru tiada sesiapa yang tercedera sewaktu insiden itu berlaku.

“Kasihan juga pakcik itu, saya tengok dia tidak cedera, tapi masih nampak sangat terkejut dan lemah,” katanya lagi.

Katanya, orang ramai terus membantu lelaki berkenaan keluar daripada keretanya dan mendapati bahawa pemandu tersebut mengalami kekejangan otot.

“Memang laju, dia mengundur dan setelah ditanya beliau memberitahu bahawa dia tidak tersalah menekan pedal minyak, tetapi kakinya kejang sewaktu ingin pulang ke rumah.

“Mungkin sebab pakcik itu penat, dan tiada yang menemaninya ke hospital untuk memandunya ke rumah, nasib baik tiada orang cedera,” ujarnya lagi.