"Macam nak gugur jantung," itu reaksi salah seorang guru yang mengakui pernah mengajar dua daripada suspek kes kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, dekat Jalan Keramat Hujung di sini pada Khamis.

Guru yang enggan identitinya didedahkan itu berkata, dia terkejut apabila melihat wajah bekas muridnya itu antara tujuh individu yang dipercayai suspek kes tersebut selepas gambar mereka viral di media sosial.

Jelasnya, sikap kedua-dua muridnya itu cukup berbeza semasa masih di bangku sekolah rendah.

"Ada dua orang suspek yang saya pernah ajar. Macam nak gugur jantung tengok muka mereka. (Dulu semasa di sekolah) mereka ini baik, dengar cakap.

"Mereka juga pernah bagi hadiah tudung kepada saya semasa Hari Guru, juga tolong saya masa Hari Sukan sekolah.

"Ya Allah, tak tahu mana silapnya. Mungkin bila habis sekolah rendah, mereka ini salah pilih kawan," tambahnya.

BACA: Polis tahan remaja lelaki bantu siasatan tragedi kebakaran tahfiz

BACA: Ada pihak berkeliaran sekitar pusat tahfiz sebelum kebakaran - PPIM

Beliau yang kini mengajar di salah sebuah sekolah rendah dekat Datuk Keramat berkata, keciciran di dalam kelas memungkinkan suspek tersebut terus tercicir dalam masyarakat.


"Mula-mula mereka ini tercicir dalam kelas, lepas itu mereka tercicir dalam masyarakat.

"Kita (guru) didik elok-elok masa mereka sekolah rendah, tetapi lepas tamat sekolah rendah, jadi sebegini. Saya sedih sangat.

"Inilah dugaan seorang guru, nampak kerja senang tetapi tanggungjawab dan amanat yang diberikan amat berat," ujarnya.


(Atas permintaan subjek, identitinya serta suspek yang dimaksudkan harus disembunyikan bagi mengelak menjejaskan siasatan)

BACA: Kebakaran pusat tahfiz: Tujuh fakta susulan penahanan suspek

BACA: Akibat ejek-mengejek, pusat tahfiz dibakar

Pada Jumaat, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata siasatan awal polis mendapati kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah berpunca daripada perbuatan khianat.

Katanya, motif tindakan berpunca daripada ejek-mengejek antara tujuh suspek yang ditahan dan sekumpulan pelajar pusat tahfiz itu.


Tujuh suspek yang ditahan berusia di antara 11 dan 18 tahun, di mana ujian saringan air kencing mendapati enam daripada mereka positif dadah jenis ganja.