Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir melahirkan kegembiraan apabila Kedah Darul Aman, yang dahulunya pernah dikenali sebagai 'Darul Sampah', kini berubah wajah menjadi antara negeri terbersih di Malaysia.

Malahan, katanya, perkara ini diakui sendiri oleh rakan-rakan sejawatannya yang datang melawat ke negeri ini.

"Mereka (rakan-rakan Menteri Besar) maklum kepada saya apabila berjumpa atau hantar teks mereka ucap tahniah kerana mereka melihat yang pertamanya bandaraya Alor Setar sangat bersih berbanding dahulu, dan kawasan-kawasan lain di sekitar negeri Kedah," katanya ketika berucap merasmikan Wisma Idaman di sini hari ini.

Mukhriz berkata, pencapaian tersebut banyak disumbangkan pihak syarikat pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di Kedah dan Perlis, Environmental Idaman Sdn Bhd (E-Idaman).

"Sepanjang tempoh perkhidmatan saya sebagai Menteri Besar, saya berpuas hati dengan prestasi dan komitmen yang telah ditunjukkan oleh E-Idaman, bukan sahaja dari aspek menjaga kebersihan, malahan merangkumi kerja kebajikan," katanya.

Mukkriz berkata, penduduk di negeri ini 'mengeluarkan' sebanyak hampir 1,400 tan sampah sehari dan ia meningkat kepada 1,800 tan pada hari perayaan.

Justeru beliau berharap pelaksanaan pengasingan sisa di punca yang akan dilaksanakan pada September ini dapat dipraktikkan oleh seluruh rakyat dalam meningkatkan kadar kitar semula di samping mengurangkan jumlah sisa yang perlu dilupuskan di tapak pelupusan.

Beliau juga berharap usaha dijalankan bersama bagi menjadikan Kedah negeri pertama capai status sifar aduan dalam aspek kebersihan persekitaran.