Seorang pekerja penyelenggaraan berdepan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa atas tujuh pertuduhan termasuk menetak dan mengelar tiga beradik sehingga mati di Kampung Sungai Haji Muhammad, Selekoh, Bagan Datuk pada 17 Mei lalu, di dua Mahkamah Majistret berasingan, di sini, hari ini.

Tertuduh, Shahrul Pitri Jusoh, 35, didakwa di atas tiga pertuduhan berasingan membunuh Nur Zia Fasihah Mohd Fadzil, 2, Muhammad Firash Zafrill Mohd Fadzil, 3, dan Muhammad Faqih Zahirulhaq Mohd Fadzil, 5.

Tertuduh melakukan perbuatannya antara jam 2.30 hingga 2.40 petang pada 17 Mei lalu di Projek Bantuan Bina Rumah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak (Maipk) di Kampung Sungai Haji Muhammad, Selekoh, Bagan Datoh.

BACA: Tragik! Tiga beradik maut dikelar

BACA: Insiden kelar Bagan Datuk: 'Aku dah tak ada apa-apa lagi' - Bapa mangsa

BACA: Suspek tetak mati tiga beradik disahkan positif dadah - Polis

BACA: Jenazah tiga beradik maut ditetak disemadi dalam satu liang lahad

Pendakwaan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Syahdatul Kamila Zakaria dan tertuduh mengaku faham namun tiada pengakuan direkodkan.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukum gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Majistret Syahdatul Kamila menetapkan 4 Julai depan bagi sebutan semula dan memberi ruang kepada pihak pendakwaan untuk mendapatkan laporan kimia dan hasil bedah siasat.

Tertuduh tidak diwakili peguam sementara pendakwaan dilakukan oleh Afiqa Liyana Rozman.

Di mahkamah berasingan, Shahrul Pitri didakwa melakukan perbuatan sama terhadap murid Tahun Empat, Nur Aina Umaira Subri, 10, di titi pondok hadapan SKSHM antara jam 2.15 hingga 2.25 petang.

Tertuduh juga didakwa melakukan perbuatan sama terhadap ibu tiga beradik berkenaan, Zuraidah Mat Ali, 35, di rumah projek bantuan bina rumah MAIPk antara jam 2.30 hingga 2.40 petang.

Dia juga didakwa cuba membunuh menggunakan parang terhadap guru agama, Redhuan Embi, 32, di jalan hadapan Sekolah Kebangsaan Sungai Haji Muhammad (SKSHM), kira-kira jam 2.45 petang.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan bagi ketiga-tiga tuduhan itu yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Shahrul Pitri juga didakwa mencederakan Nur Zuryn Faziera Mohd Fadzil, 9, yang juga kakak kepada tiga beradik mangsa bunuh, menggunakan parang di titi pondok hadapan SKSHM antara jam 2.15 hingga 2.25 petang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 324 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripadanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang beralamat di Taman Alam Megah, Shah Alam, Selangor, mengaku tidak bersalah terhadap semua empat pertuduhan berkenaan.

“Saya minta bicara, saya dalam keadaan tidak sedar, saya khayal (dalam kejadian itu),” kata tertuduh di hadapan Majistret Norita Mohd Ardani.

Norita turut menetapkan semua kes itu disebut semula pada 4 Julai depan dan tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh.