Kematian seorang guru muda, Catherine Janet Tiwi, dalam kebakaran di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Bungan, Mulu pada Rabu, perlu membuka mata kerajaan negeri dan persekutuan dengan seluas-luasnya untuk bekerjasama menyediakan dan menaik taraf kemudahan asas di semua sekolah luar bandar.

Sejajar dengan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Irene Chang menggesa Kementerian Pendidikan negeri menubuhkan Jawatankuasa Kesihatan dan Keselamatan bagi memainkan peranan sebagai badan penasihat kepada Kementerian Pendidikan Persekutuan.

"Jawatankuasa ini perlu dianggotai pemegang kepentingan tempatan untuk bekerjasama dengan kementerian negeri dan persekutuan serta diberi kuasa menyertai tugas membuat pemeriksaan tahunan terhadap sekolah berkenaan," katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP Sibu di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata, semasa Sidang DUN yang baru berakhir, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Datuk Seri Michael Manyin Jawong memaklumkan terdapat 428 sekolah luar bandar di Sarawak yang belum mempunyai bekalan air terawat, manakala 371 lagi masih bergantung sepenuhnya kepada set jana kuasa untuk mendapatkan tenaga elektrik.

Beliau juga memaklumkan sebanyak 1,020 sekolah berkeadaan daif dan menjadi punca kemalangan seperti kejadian asrama SK Punan Ba di Belaga yang runtuh pada 2011.

"Memandangkan Menteri Pendidikan baharu giat menganjurkan sumbang saran tentang pembaharuan dan dasar berkaitan sekolah, saya menggesa Kementerian Pendidikan di bawah kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) supaya memberi keutamaan terhadap perkara yang tepat, terutama yang melibatkan nasib sekolah di luar bandar dan pedalaman Sarawak.

"Sekolah ini lebih memerlukan perhatian segera untuk diberi kemudahan asas seperti bekalan air bersih, bekalan elektrik sepanjang masa serta struktur sekolah sewajarnya yang dilengkapi kemudahan, bukannya perubahan dari segi dasar," katanya.

Walaupun punca sebenar kebakaran SK Batu Bungan yang meragut nyawa guru berusia 25 tahun itu serta mencederakan dua guru lain belum diketahui, namun kata Chang, Kementerian Pendidikan perlu menyedari bahawa keadaan kebanyakan sekolah luar bandar yang begitu menyedihkan, boleh memberi kesan buruk dari segi kesihatan terhadap guru dan murid.

Menyentuh tentang kenyataan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam sebuah akhbar tempatan baru-baru ini, bahawa beliau tidak faham kenapa Kementerian Pendidikan persekutuan tidak mengambil langkah proaktif untuk menghubungkan sekolah tertentu dengan grid tenaga sedia ada, tetapi lebih suka menggunakan jana kuasa diesel, Chang kenyataan itu mengelirukan dan tidak wajar.

Katanya, Abang Johari sepatutnya sedar bahawa masalah sekolah uzur dan tidak mempunyai kemudahan asas adalah berpunca daripada kelemahan pentadbiran kerajaan persekutuan dan negeri Barisan Nasional sebelum ini. -- Bernama