Masalah kemiskinan yang berpanjangan di negeri-negeri utara Semenanjung ada kaitan dengan ancaman keselamatan yang berterusan di Selatan Thailand, kata Pengasas Nation Building Institute Profesor Dr Kriengsak Chareonwongsak.

Beliau berpendapat ancaman keselamatan di wilayah Patani, Yala dan Narathiwat bukan sahaja merencatkan pembangunan ekonomi di rantau berkenaan, bahkan ia menjejaskan negeri-negeri utara Semenanjung yang bersempadan dengannya.

Katanya, ancaman keselamatan di selatan Thailand menyebabkan pelaburan sukar dibawa masuk ke wilayah berkenaan dan turut menjejaskan kemasukan pelabur asing ke kawasan sempadan utara Semenanjung Malaysia.

"Sekiranya ada serangan bom, tiada siapa yang akan membuat pelaburan. Jadi adalah lebih baik bagi Thailand dan Malaysia juga untuk menghentikan konflik di selatan Thailand," katanya kepada Astro AWANI.


Dr. Kriengsak


Beliau percaya jika keamanan berkekalan dapat dikembalikan di selatan Thailand ia juga akan memberikan limpahan besar kepada kesejahteraan kepada negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia dan rakyatnya.

BACA: Malaysia-Thailand cari jalan terbaik selesai isu selatan Thai

BACA: Zon Selamat Selatan Thailand tidak jadi kenyataan jika keganasan berterusan

Justeru beliau memohon Kerajaan Malaysia menggandakan usaha untuk membantu Bangkok membawa keamanan dan kestabilan berpanjangan di wilayah selatan Thailand.

"Thailand sudah banyak menolong Malaysia ketika ia menghadapi ancaman komunis di mana Thailand menghentikan sokongan sehinggalah ia terpadam.

"Tetapi di Thailand masih belum aman, masih ada masalah kecil tetapi sering berlaku jadi kami berharap saudara kami (di Malaysia) akan membantu kami dengan melaksanakan usaha bersama untuk mengentikan (ancaman keselamatan) supaya kita dapat majukan wilayah itu bersama," katanya.

BACA: Rakyat Malaysia di Thailand dinasihatkan berhati-hati

BACA: Thailand tangani ancaman keselamatan dengan peralatan imigresen moden

Pada Sabtu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan negeri Perlis, Kedah dan Kelantan dikategorikan sebagai negeri miskin dan akan diberi fokus dalam dasar jangka panjang hala tuju ekonomi negara berasaskan Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030.

Dalam pada itu, Kriengsak memaklumkan walaupun dilanda ancaman keselamatan, kawasan sempadan Thailand-Malaysia masih menjadi kawasan sempadan yang paling maju berbanding sempadan-sempadannya dengan Myanmar, Kemboja atau Laos.

Menyedari potensi tersebut, Kriengsak yang juga pensyarah undangan di Universiti Utara Malaysia (UUM) mencadangkan penganjuran sebuah persidangan antarabangsa di kawasan sempadan Malaysia - Thailand.

VIDEO: Terdapat jurang ketara antara rakyat yang kaya dan miskin

VIDEO: Negeri miskin: Perlis perlu peruntukan besar

Beliau percaya dengan penganjuran berkenaan ia boleh menarik pakar akademik dari serata dunia bagi membincangkan langkah membangunkan wilayah sempadan dua negara tersebut.

Pada masa sama, beliau juga menyeru lebih banyak peruntukan diberikan kepada usaha kajian pembangunan dan ekonomi di rantau berkenaan dalam mencari jalan penyelesaian bagi mengakhiri kitaran kemiskinan di sepanjang garisan sempadan utara Semenanjung Malaysia dengan selatan Thailand.

Siri keganasan di selatan Thailand tercetus sejak 1948 lagi dengan kebangkitan menentang pemerintahan Bangkok demi mengembalikan pemerintahan melayu islam di patani.

Krisis memuncak pada antara tahun 2001 hingga 2006 sehinggalah Bangkok mengubah strategi dalam mengurangkan ketegangan.

Sejak 2004, konflik bersenjata di 4 wilayah di selatan Thailand telah mengorbankan lebih 7,000 nyawa.



Parlimen Malaysia pada 2015 dimaklumkan bahawa negara ialah satu-satunya negara yang menjadi fasilitator kepada proses damai di selatan Thailand.

Komitmen berkenaan diperbaharui pada 2018 apabila Dr Mahathir menjanjikan bantuan daripada Malaysia dalam "apa cara sekalipun" kepada Thailand untuk menamatkan isu keganasan di wilayah selatan negara itu.