Kempen kebersihan DBKL berjaya hapus 78,000 tikus

Kempen kebersihan DBKL berjaya hapus 78,000 tikus
Shahruddin (tengah) ketika melawat reruai pameran pada program Gotong-Royong Mega 2018 yang diadakan di PPR Seri Semarak. -Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Sebanyak 78,000 ekor tikus telah ditangkap dalam 'Kempen 1 Tikus RM3' yang dilancarkan sejak tahun 2012 di ibu negara.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Shahruddin Md Salleh berkata jumlah itu menjadikan sebanyak RM170,000 telah dibelanjakan sebagai ganjaran kepada orang ramai yang menangkap tikus sepanjang kempen berkenaan.

"Pada tahun 2017 sahaja sebanyak 16,000 ekor tikus telah ditangkap, meningkat 3,000 dari tahun sebelumnya.

"Ini menjurus kepada penurunan jumlah kes melibatkan wabak kencing tikus di mana hanya ada 64 kes sahaja bagi tahun ini sehingga September," katanya pada sidang media selepas merasmikan program Gotong-royong Mega 2018 di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak, di sini, hari ini.

Gotong-royong itu diadakan serentak di kesemua 11 kawasan Parlimen Kuala Lumpur bersempena dengan Hari Pembersihan Sedunia.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan, Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad, Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosio Ekonomi) Datuk Ibrahim Yusoff, dan Presiden NGO RCOMM Mizan Pawan Chik.

Sementara itu, Shahruddin turut menyatakan pihaknya sedang mengkaji cadangan untuk memperbanyakkan tong sampah di kawasan PPR Seri Semarak seperti di lif dan taman permainan.

"Ini usaha yang baik, dan DBKL bersedia untuk buat dan kita laksanakan segera peringkat demi peringkat, dalam masa dua bulan semuanya akan siap," katanya ketika mengulas mengenai cadangan yang dibuat wakil penduduk PPR berkenaan.

Tambah beliau, setiap tahun Kementerian Wilayah membelanjakan sebanyak RM250 juta bagi pengurusan sampah dan kerja pembersihan.