Kerajaan Negeri Sabah akan meneliti semula pemberian lesen konsensi pembalakan bagi mengelak berlaku monopoli sesetengah individu dalam sektor pembalakan di negeri ini.

Tegas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, penelitian semula itu juga bertujuan mengelak eksploitasi hasil pembalakan Sabah secara haram.

Beliau menjelaskan bahawa satu kajian yang menyeluruh sedang giat dilakukan oleh kerajaan negeri meliputi pengeluaran konsesi pembalakan di negeri ini.

"Kita akan kaji semula pemberian konsensi ini kerana berdasarkan penelitian, terdapat individu yang memonopoli hasil pembalakan ini dari tebang pokok, membeli dan mengeksport kayu balak.

"Jadi kita tidak mahu orang-orang yang tidak mempunyai pengalaman dalam sektor perhutanan ini terbabit dalam industri ini," katanya.

Mohd Shafie berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Limus Jury (UPKO-Kuala Penyu) yang memohon penjelasan berhubung kesediaan kerajaan negeri untuk mengkaji semula pemberian konsensi balak ketika dalam Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Tambah Mohd Shafie, inisiatif ini adalah bertujuan untuk memastikan khazanah hutan Sabah sentiasa dilindungi dan diurus secara mampan bagi memastikan industri hiliran berasaskan kayu di negeri ini terus mendapat manfaat.

"Kerajaan negeri kini sedang menjalankan kajian yang menyeluruh tentang pengeluaran lesen konsensi pembalakan yang dikeluarkan sebelum ini.

"Ini termasuklah isu-isu yang berkaitan dengan pembalakan haram dan kesannya terhadap kemusnahan hutan, tanah runtuh dan sebagainya dan kerajaan akan mengambil tindakan yang sewajarnya berasaskan kepada prinsip 'rule of law'," katanya.