Kerajaan memutuskan untuk menghapuskan caj 10 peratus bagi menanggung kos penyelenggaraan keselamatan terhadap penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan , Datuk Abdul Rahman Dahlan, ia melibatkan kerosakan lif dan penyelenggaraan pendawaian elektrik.

"Inisiatif itu selari dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang ingin nasib penduduk rumah kos rendah di negara ini sentiasa dibantu dan diberi keutamaan.

"Sebelum ini, kita menampung 90 peratus kos penyelenggaraan manakala 10 peratus pula ditanggung oleh penduduk.

"Namun saya melihat dasar ini sudah tidak relevan kerana kos penyelenggaraan itu amat tinggi dan akan membebankan penduduk, maka kita putuskan untuk memansuhkannya dan akan menanggung sepenuhnya kos penyelenggaraan," katanya dalam sidang akhbar selepas melawat PPR Wangsa Sari, Wangsa Maju, di sini hari ini.


Sebelum ini, Najib mengumumkan penubuhan Perbadanan Pengurusan Perumahan Awam Negara (3PAN) bagi menjalankan kerja penyelenggaraan semua PPR.

Kata Najib, penubuhan perbadanan tersebut bagi menggantikan tugas yang sebelum ini dikendalikan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Penubuhan perbadanan ini bakal memberi manfaat kepada lebih 100 ribu pemilik rumah PPR di seluruh negara.