Malaysia perlu menerima hakikat bahawa kerjasama strategik dengan syarikat gergasi telekomunikasi antarabangsa diperlukan.

Kerjasama ini, kata Tun Dr Mahathir Mohamad, akan memberi peluang kepada negara mempelajari teknologi syarikat berkenaan walaupun mereka akan mempunyai kata putus dalam operasi rangkaian.

Menurut Perdana Menteri, jika langkah itu tidak diambil, Malaysia sudah pasti akan terus ketinggalan dengan arus teknologi yang kini berkembang pada kadar yang sangat pantas.

“Kita perlukan rakan dalam bidang telekomunikasi. Ketika kita mempunyai usaha sama dengan syarikat Sweden dahulu, ia bukan bermaksud kita telah serahkan keseluruhan perniagaan telekomunikasi kita kepada mereka.

“Kita akan mempunyai peranan kita tersendiri, kita akan kawal operasi kita. Sebab itu kini kita mempunyai peluang untuk mempelajari teknologi Telnor, itu adalah cara yang sepatutnya,” katanya dalam sidang media sempena hari terakhir lawatan kerja tiga hari beliau ke Jepun.

Perdana Menteri berkata demikian apabila ditanya mengenai penggabungan syarikat telekomunikasi Telnor ASA dari Norway dengan Axiata Group Bhd dari Malaysia.

Penggabungan itu, jika dimuktamadkan, akan menyaksikan Telnor mempunyai pegangan sebanyak 56.5 peratus dari syarikat baharu yang akan diwujudkan dengan hampir 300 juta pelanggan di sembilan buah negara.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, kerajaan mempunyai cara tertentu untuk memastikan syarikat milik Malaysia tidak akan terus tenggelam dengan penggabungan itu.

“Kita akan adakan kerjasama dengan mereka, kita akan cuba mempelajari teknologi mereka, tetapi kita masih mengawal operasi di Malaysia,” jelasnya lagi.

BACA: Celcom, DiGi bergabung jadi syarikat telekom terbesar Malaysia