Kerjasama korporat dan swasta dalam memperkenalkan pelajar kolej vokasional di alam pekerjaan memastikan graduan kelak lebih berdaya saing dalam industri.

Ketua Jabatan Pembangunan Kolej Vokasional Seri Manjung (KVSM), Mohd Fauzi Mohd Roni berkata, ia pendedahan untuk pelajar bersedia lebih awal sebelum bekerja kelak.

"Terkini kita menjalinkan kerjasama dengan Marina Island Pangkor Resort dalam program KVSM Annual Beach Run 2019 yang melibatkan hampir 600 penyertaan.

"Program seumpama ini merupakan salah satu bentuk pembaharuan yang dirancang KVSM bagi memastikan pelajar menjalani aktiviti berbentuk fizikal dalam suasana yang menarik dan kondusif," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.

Mohd Fauzi berkata, KVSM Annual Beach Run 2019 diadakan bagi menggantikan aktiviti merentas desa yang merupakan program tahunan kolej.

"Ia salah satu bentuk kerjasama korporat di antara KVSM dengan Marina Island Pangkor Resort Sdn Bhd.

"Hampir 600 warga KVSM yang terdiri daripada pelajar, pensyarah, anggota kumpulan sokongan serta pegawai perhubungan sekolah menyertai program berkenaan.

"Jika sebelum ini pelajar kita melalui kawasan ladang kelapa sawit dan lorong perumahan awam, namun kini kita membawa pelajar menjalankan aktiviti di kawasan persisir pantai sambil menikmati pemandangan yang indah," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Marina Sanctuary Resort Sdn Bhd, Ding Mei Looi berkata, pihaknya menerima pelatih Latihan Sambil Kerja (OJT) serta graduan KVSM.

"Pelajar ini bekerja di bahagian penyenggaraan elektrik merangkumi resort percutian, rumah kedai, bangun pejabat serta vila yang terdapat di sekitar pulau buatan manusia ini.

"Malahan, kami sentiasa memerlukan tenaga kerja bagi membantu dalam operasi harian resort, terutamanya di hujung minggu.

"Pelajar KVSM ini turut ditawarkan untuk bekerja secara sambilan," katanya.