Kes seorang wanita warga emas yang ditemui mati dengan kesan jerutan dalam kejadian samun di rumahnya di Taman Malaysia di sini pada 25 Feb lalu dianggap selesai susulan penahanan seorang lelaki.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata suspek berusia 44 tahun tersebut diberkas di Kuala Lumpur pada 28 Feb lalu selepas dikehendaki berkaitan satu kes pecah rumah di Taman Golf Alor Setar.

Suspek membuat pengakuan berhubung kes warga emas berkenaan ketika dalam tahanan reman berkaitan kes pecah rumah di Alor Setar, katanya selepas merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah Baling yang baharu, di sini, hari ini.

"Motif pembunuhan ini adalah pecah rumah. Dia masuk dalam rumah itu hendak mencuri, tetapi mangsa ada dalam rumah. Jadi, mungkin menyebabkan dia bertindak ganas dan melakukan sesuatu dengan menyebabkan kematian.

"Jadi, kita telah tangkap satu lelaki Melayu ini, kita telah rampas beberapa barangan yang hilang daripada rumah tersebut. Dan semasa siasatan awal ke atasnya, dia pun mengaku kata dia melakukan pembunuhan," kata Noor Rashid.

Menurutnya, kesan cap jari telah membawa kepada penangkapan suspek utama kes itu sambil menambah, pisau yang digunakan ketika pembunuhan juga berjaya ditemui selepas suspek menunjukkan lokasi dia membuangnya.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang 25 Februari lalu, mangsa, Kau Fu Eng, 71 tahun, ditemui mati dalam keadaan terbaring di dalam bilik di bahagian tengah rumah oleh anaknya.

Ketika ditemui leher mangsa dijerut dengan tali pinggang dan tuala, sementara kepalanya di bahagian belakang dan depan, berdarah.

Dalam kejadian itu, sejumlah barang kemas bernilai lebih RM10,000, sebuah tablet dan beberapa utas jam tangan telah hilang, dipercayai dilarikan suspek.

Noor Rashid berkata, siasatan turut mendapati suspek yang berasal dari Johor dan tidak bekerja itu mempunyai 17 rekod lampau membabitkan dadah dan pecah rumah.

“Susulan penahanan suspek, kes dianggap selesai dan suspek akan direman esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.