Polis telah menghantar rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian kes tembak membabitkan seorang ahli perniagaan di Jalan Datuk Keramat, Pulau Pinang, awal pagi Khamis lalu ke makmal forensik untuk dianalisis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Datuk Mohd Zakaria Ahmad berkata, pihaknya percaya polis akan mendapat petunjuk baru berdasarkan laporan analisa makmal itu nanti.

"Selain rakaman CCTV, polis turut menghantar peluru jenis Winchester 9mm Luger yang digunakan suspek ke makmal untuk dianalisis," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Katanya laporan analisa itu akan diperoleh dalam tempoh terdekat.

BACA: Kes bunuh Syed Amen: Polis kenal pasti warna kulit, pakaian suspek

Tambah Mohd Zakaria lagi, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan dari pelbagai aspek dan berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi.

Katanya masih terlalu awal untuk mengaitkan kes dengan motif dendam atau sindiket tertentu.

"Biar pihak polis jalankan siasatan dan saya beri jaminan kami akan maklumkan perkembangan kes ini dari semasa ke semasa kepada orang ramai. Cuma saya minta orang ramai jangan membuat sebarang spekulasi," katanya.

Dalam pada itu Bernama melaporkan, balu Syed Amen Jainul Abidin, Masita Abu Bakar, 46, turut meminta orang ramai agar tidak menyebar maklumat tidak tepat mengenai kes pembunuhan suaminya kerana ia boleh mengganggu siasatan polis.

BACA: Syed Amen pernah diugut kerana lantang bersuara - Isteri

"Pihak keluarga kami memang sedih dan berdoa agar polis dapat menangkap mereka yang terlibat dalam kejadian itu secepat mungkin," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalathrash Wahid menafikan suspek kes tembak berkenaan telah ditahan seperti yang tersebar dalam Facebook dan aplikasi WhatsApp.

Gambar seorang lelaki bertatu di lengan dan dada tersebar sejak semalam yang didakwa terlibat dengan kes itu.

Difahamkan lelaki berkenaan ditahan di Kepong, Kuala Lumpur pada Khamis bagi membantu siasatan berhubung penemuan sepucuk pistol.

BACA: Maut ditembak, peniaga nasi kandar sudah ramal nasib yang bakal menimpa