Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata kerajaan negeri akan mencari jalan untuk menyelesaikan isu tanah melibatkan penduduk Kampung Sungai Limo, Sempadi di sini.

Menurut beliau, Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg akan berusaha menyelesaikan masalah berkaitan pajakan bersyarat yang dilapor dikeluarkan terhadap tanah pribumi mereka, termasuk lot tempat mereka mendirikan rumah di kampung itu.

Penduduk terbabit mendakwa tiga syarikat menceroboh tanah mereka, menebang pokok, ladang sawit, tanah pertanian lain, termasuk hutan simpan komunal dan domain wilayah dianggarkan seluas hampir 1,600hektar.

Uggah, yang juga pengerusi jawatankuasa kerja mengenai Tanah Hak Adat Pribumi (NCR), berkata jawatankuasa itu sedang giat mencari jalan untuk menyelesaikan isu tanah "pemakai menoa" dan "pulau galau".

"Kami sudah bermesyuarat beberapa kali, tapi kami masih perlu membuat kajian mendalam tentang pelbagai isu, termasuk berkaitan sejarah dan adat, sebelum kami boleh mengemukakan laporan kepada Ketua Menteri," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Sungai Limo, Lundu di sini hari ini.

Uggah berkata jawatankuasa itu amat serius dalam mencari jalan bagi menyelesaikan isu tertangguh tersebut dan yakin ia dapat diselesaikan secara baik.

Menurut Uggah, sebelum meninggal dunia, Adenan sendiri mengingatkan beliau supaya menangani secara serius dan menyelesaikan isu tanah NCR yang menjejaskan pemilik tanah.

Terdahulu, dalam ucapannya, Uggah menyeru pengundi di kawasan Sungai Limo supaya memberi sokongan penuh mereka kepada calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amar Jamilah Anu, balu Adenan, pada pilihan raya kecil Tanjong Datu 18 Feb ini.

Beliau berkata masyarakat Dayak perlu memberi sokongan padu kepada BN pada pilihan raya kecil itu agar suara mereka dapat didengar dengan lebih jelas.

"Sekiranya masyarakat Dayak memberi sokongan kuat, maka lebih mudahlah untuk kita menyuarakan sungutan masyarakat kita kepada kerajaan," katanya.

Uggah berkata pembangkang hanya pandai menyuarakan isu, tetapi tidak mampu menyelesaikannya dan ini berbeza dengan kerajaan BN yang gigih berusaha untuk menyelesaikan sebarang isu yang menjejaskan rakyat.

Katanya, pengundi di Tanjong Datu perlu memberi undi mereka kepada Jamilah sebagai tanda penghargaan mereka terhadap segala sumbangan Adenan ketika beliau menjadi anggota Dewan Undangan Negeri kawasan itu.

Uggah berkata undi mereka kepada BN juga menunjukkan bahawa mereka menyokong Abang Johari sebagai Ketua Menteri Sarawak yang baharu dan menurut Timbalan Ketua Menteri itu, beliau mengenali Johari sebagai pemimpin yang baik serta berkemampuan dan bersikap adil kepada semua kaum.

-- BERNAMA