Hujan lebat sejak empat hari lepas menyebabkan beberapa kampung di sini dinaiki air antara 30 sentimeter hingga 1.5 meter berikutan limpahan air dari Sungai Moyog.

Kebanyakan kawasan kampung yang berdekatan dengan sungai terjejas akibat banjir dan beberapa sekolah juga terpaksa ditutup.

Bagi pelajar-pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Michael diarah pulang apabila kawasan sekolah turut dinaiki air.

Polis juga menerima beberapa laporan daripada orang ramai berikutan jalan raya yang ditenggalami air dan tidak dapat dilalui kenderaan di beberapa kawasan kampung.

Antara yang terjejas ialah Kampung Tanaki, Kampung Dabak, Kampung Babah, Kampung Sugut dan Kampung Kibabaig.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menghantar beberapa bot dan jentera untuk memantau keadaan dan membantu mangsa-mangsa yang terjejas kerana banjir.