DUBAI: Ribut petir yang melanda Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Selasa, membawa hujan paling lebat dalam sejarah sehingga air bah melumpuhkan rangkaian lebuh raya utama dan lapangan terbang antarabangsa Dubai.

AP melaporkan, hujan lebat itu mengatasi rekod data taburan hujan sejak tahun 1949, sekali gus meninggalkan kesan buruk pada negara di zon padang pasir itu.

Hujan yang bermula pada Isnin dan berterusan selama lebih 24 jam itu mencetuskan kekecohan di lapangan terbang antarabangsa Dubai, iaitu hab pengangkutan syarikat penerbangan jarak jauh Emirates.

Jadual penerbangan dan pergerakan penumpang di lapangan terbang tersebut turut terjejas apabila landasan dan tempat pesawat berhenti digenangi air.

“Kamu tidak boleh mendapatkan teksi. Ramai yang tidur di stesen tren Metro. Ada yang tidur di lapangan terbang," keluh seorang penumpang.



Sementara itu, pasukan polis dan petugas kecemasan mengharung jalanan Dubai yang turut ditenggelami air. Ramai pemandu dan penumpang kenderaan yang terkandas di jalan raya sambil menunggu untuk diselamatkan.

Dengan latar langit yang sering memancarkan kilat pada Selasa, termasuk mencecah puncak bangunan Burj Khalifa, ramai orang awam yang menaiki pengangkutan awam turut terkandas apabila stesen-stesen Metro turut tidak dapat beroperasi.

Kebanyakan sekolah di seluruh UAE ditutup manakala pekerja pejabat diarahkan supaya bekerja dari rumah.

Di media sosial pada beberapa hari lalu turut menunjukkan keadaan huru-hara di kompleks beli-belah popular, Dubai Mall, yang mengalami kebocoran besar sewaktu hujan lebat. Siling kompleks beli-belah itu terkopak dan mencurahkan air yang sudah tidak tertampung ke seluruh bahagian koridor.




Di emiriah paling utara, iaitu Ras al-Khaimah, terdapat laporan bahawa seorang lelaki lanjut usia terkorban apabila kenderaannya dihanyutkan air bah.

Hujan jarang terjadi di UAE, namun hanya turun secara berkala semasa musim sejuk. Keadaan infrastruktur di UAE yang tidak memiliki sistem perpsritan yang baik turut menyumbang kepada kejadian banjir kilat.

Hujan lebat juga dilaporkan melanda Bahrain, Qatar dan Arab Saudi.

Di Oman pula, sekurang-kurangnya 18 orang terkorban dalam cuaca hujan lebat sejak beberapa hari lalu.