Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Tan Sri Othman Mustapha dilantik sebagai Anggota Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi tempoh tiga tahun, berkuat kuasa hari ini.

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm) USIM dalam kenyataan berkata pelantikan Othman adalah bagi menggantikan Prof Emeritus Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh yang tamat tempoh lantikannya pada 30 Jun lalu.

"Pelantikan ini juga dipersetujui Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh," kata kenyataan itu di sini, hari ini.

Dilahirkan di Tumpat, Kelantan, Othman merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pengajian Islam (Syariah) dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

Beliau mula berkhidmat dengan Jakim sebagai Pegawai Hal Ehwal Islam pada 1982 dengan jawatan sebagai Penolong Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Selain itu, beliau pernah bertugas sebagai Atase Agama di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Indonesia; Pengarah Bahagian Penerbitan Jakim, Pengarah Bahagian Dakwah Jakim, Pengarah Jakim Cawangan Sarawak dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Beliau kemudian dilantik sebagai Ketua Pengarah Jakim pada 24 April 2011.

"USIM merakamkan setinggi ucapan tahniah dan mengalu-alukan pelantikan beliau ke jawatan ini. Universiti juga mengucapkan setinggi penghargaan kepada Dr Wan Hashim kerana telah memberi sumbangan yang amat besar kepada perkembangan universiti sepanjang menjadi Ahli Lembaga Pengarah Universiti selama 10 tahun," kata kenyataan itu.

-- BERNAMA