Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerima 241 kes berhubung penjual yang didapati melanggar peraturan.

Ia termasuk menjual barang melebihi harga kawalan dan gagal meletakkan tanda khas.

Bagaimanapun, Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memuji tahap pematuhan tinggi dalam kalangan peniaga sepanjang pelaksanaan Skim Kawalan Harga musim perayaan Tahun Baharu Cina 2019.

Ia berdasarkan pemeriksaan ke atas 26,457 premis pemborong dan runcit di seluruh negara oleh anggota penguat kuasa.

Sepanjang pelaksanaan itu nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM28,500 dan jumlah kompaun dikenakan sebanyak RM27,300.

"Isunya apakah kita harus terus membuat kawalan harga atau akan memanjangkan tempoh macam perayaan Tahun Baharu Cina (10 hari), Hari Raya Aidilfitri (15 hari), Deepavali (tujuh hari)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan pemeriksaan di Pasar Bayan Baru, di Pulau Pinang pada Jumaat.

Buat masa ini, kementeriannya menetapkan tempoh pelaksanaan skim kawalan harga untuk perayaan Tahun Baharu Cina selama 10 hari, Hari Raya Aidilfitri (15 hari) dan Deepavali (tujuh hari).