Kejadian murid di SMK Gurun, Kedah tercedera ketika menjalani latihan memanah pada 6 Februari lalu dipandang serius oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

KPM memaklumkan ia telah menggerakkan siasatan dalaman untuk menyemak sama ada semua Standard Operating Procedure (SOP) dipatuhi semasa menjalani latihan memanah.

Menurut kenyataan media KPM, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap pihak yang tidak mematuhi SOP, terutamanya aktiviti-aktiviti yang melibatkan peralatan sukan yang boleh mendatangkan kecederaan.

“Tindakan tegas akan diambil berdasarkan hasil siasatan bagi memastikan kejadian seperti ini tidak berulang pada masa akan datang.

“KPM juga akan memberi kerjasama penuh kepada pihak Polis Diraja Malaysia dalam kes tersebut dan akur semua prosedur perundangan sedia ada,” menurut kenyataan berkenaan.

Kementerian itu juga memberi peringatan kepada jurulatih sukan khasnya dan semua guru amnya supaya sentiasa mengutamakan keselamatan dan kebajikan murid, sebelum, semasa dan selepas aktiviti atau latihan sukan dijalankan.

Selain itu, pihak pentadbir sekolah diingatkan agar aktiviti murid di sekolah sentiasa diiringi oleh guru dan peralatan sukan berisiko dikendalikan dengan selamat.


Kenyataan media kes murid tercedera semasa latihan memanah

Tindakan segera di peringkat sekolah, pejabat pendidikan daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah telah diambil untuk membantu mangsa dan keluarga terutamanya dari segi kebajikan, kaunseling dan tuntutan insurans.

BACA: Pelajar Tingkatan 4 nyaris buta, anak panah tertusuk mata waktu latihan