Wiranita Parti Bumiputra Perkasa Malaysia (Putra) menggesa kerajaan agar meningkatkan penguatkuasaan undang-undang yang boleh menghalang lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini.

Ketua Wiranita Putra, Intan Rahmah Ali menegaskan pihak berkuasa tidak sepatutnya memandang ringan perkara tersebut kerana ramai PATI memasuki negara ini terutama melalui jalan laut.

"Jika semua pihak berkenaan memainkan tanggungjawab secara berkesan, tidak mustahil masalah kemasukan pendatang asing (tanpa izin) dapat diatasi dari akar umbinya.

"Tindakan yang lebih cekap perlu dilakukan bagi memastikan penempatan pekerja asing berada pada lokasi dan kondisi yang baik dan tidak menganggu kesejahteraan rakyat tempatan.

"Dalam pada itu, usaha membanteras PATI perlu terus digiatkan secara besar-besaran agar kedaulatan negara terus terpelihara dan hak-hak ekonomi serta keselamatan rakyat terus terbela," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Intan Rahmah juga mendakwa lambakan PATI merupakan antara punca menyebabkan kegiatan ekonomi warga tempatan terjejas kerana ramai dikalangan mereka berani menjalankan perniagaan tanpa mempunyai lesen perniagaan yang diwajibkan kepada anak tempatan.

Selain itu, beliau juga berkata terdapat aktiviti yang dilakukan oleh PATI menggugat keselamatan rakyat melalui pelbagai kegiatan jenayah.

"Sudah terang lagi bersuluh, kemasukan pekerja asing tanpa kawalan menyebabkan peningkatan kadar jenayah di negara ini.

"Pelbagai jenayah akan dilakukan oleh pekerja tempatan berikutan tidak mempunyai gaji yang mencukupi dan tidak mempunyai pekerjaan.

"Peningkatan jenayah ini juga melibatkan pekerja asing yang masuk ke Malaysia tetapi tidak mendapat pekerjaan yang dijanjikan sedangkan mereka memerlukan wang untuk meneruskan hidup," katanya lagi.

Katanya realiti hari ini menunjukkan trend kemasukan PATI sangat membimbangkan dan mereka juga membawa penyakit berjangkit kerana tidak melalui saringan yang ditetapkan.