Seorang lelaki berusia 31 tahun dijumpai mati di dalam sebuah kereta jenis di Jalan PJU 1/39, Dataran Prima, Petaling Jaya, Selangor pada petang Isnin.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, lelaki berkenaan ditemui orang awam pada pukul 6.16 petang dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kereta itu dikunci.

"Siasatan awal mendapati lelaki berkenaan terbaring di tempat duduk pemandu yang telah dibaringkan dan kematiannya disahkan oleh paramedik dari ambulans Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM).

"Pemeriksaan rambang terhadap mayat mendapati tiada kesan atau bekas yang boleh menjurus ke arah jenayah dan telah menjumpai satu bekas disyaki berisi arang yang dibakar digunakan untuk membunuh diri dijumpai di bawah tempat letak kaki penumpang hadapan," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mohd Zani berkata mayatnya dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat.