Kerajaan bersetuju agar pembayaran kadar levi berjumlah RM10,000 setahun ditanggung pekerja asing sebanyak 80 peratus, dan majikan pada kadar 20 peratus.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pelaksanaannya akan melibatkan pekerja asing terlatih yang sudah bekerja lebih 10 tahun di negara ini.

"Jadi, apa diumumkan di sini ialah 20 peratus dibiayai majikan, 80 peratus pekerja asing supaya kita tidak rugi dan kerajaan akan kutip wang yang agak besar, cecah bilion, untuk tiga tahun ini," katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Tahunan Pemaju Hartanah anjuran REHDA Institute di sini, hari ini.

Bagaimanapun katanya, perincian mengenai perkara itu akan diumumkan kementerian terlibat tidak lama lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata langkah itu juga bagi memastikan kerajaan tidak hilang keuntungan kewangan negara.

"Kita harap satu masa kita tambah pendapatan dan pastikan pembangunan ekonomi berterusan kerana tidak ada pekerja-pekerja terlatih itu kehilangan," tambahnya.

Sebelum ini, levi pekerja asing ditanggung sepenuhnya majikan yang mahu melanjutkan tempoh perkhidmatan pekerja mereka selama tiga tahun lagi selepas sudah 10 tahun bekerja di sini.