Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 48 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesemua mereka ditahan kerana terlibat dengan aktiviti kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial.

Daripada jumlah itu, lima individu direman manakala 43 individu lagi dikenakan kompaun.

"Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 62,733 pemeriksaan semalam (16 Julai 2020) bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Sebanyak 2,701 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 12,284 anggota telah membuat pemantauan di 3,939 pasar raya, 5,491 restoran serta 1,720 penjaja, 1,123 kilang, 3,579 bank dan 878 pejabat kerajaan. Juga 1,121 terminal pengangkutan darat, 229 terminal pengangkutan air serta 89 terminal pengangkutan udara telah dipantau oleh Task Force Operasi Pematuhan," katanya dalam satu kenyataan media mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada Jumaat.

Dalam pada itu, mengulas mengenai Operasi Benteng (Op Benteng), PDRM telah berjaya menangkap lima warga asing kerana kesalahan imigresen.

"PDRM membuat 66 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 40,151 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) terutamanya di lorong-lorong tikus," ujarnya.

Kerajaan katanya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki
sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan
kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus.