Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan lapan lelaki termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek G Saminathan daripada pertuduhan berkaitan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Perintah pembebasan itu dikeluarkan empat Mahkamah Tinggi berasingan yang mendengar kes mereka selepas dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya bahawa Peguam Negara telah mengeluarkan arahan untuk tidak meneruskan prosiding terhadap kesemua tertuduh mengikut Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah.

Selain Saminathan, 35, tujuh yang lain ialah juruteknik S Arivainthan, 28; pengawal keselamatan, M Pumugan, 30; ahli DAP, V Suresh Kumar, 44; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau Melaka, S Chandru, 39; seorang guru, Sundram Renggan @ Rengasamy, 53; pengutip besi buruk, A Kalaimughilan, 29 dan penghantar surat, S Teeran, 39.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa dengan pengetahuan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE menggunakan aplikasi media sosial Facebook dan hadir pada majlis berkaitan kumpulan itu.

BACA: LTTE: Peguam Negara hentikan prosiding terhadap 12 tertuduh serta merta

Pertuduhan mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sepanjang hayat atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan bagi melakukan kesalahan itu jika sabit kesalahan.

Sebahagian daripada mereka juga menghadapi pertuduhan memiliki item berkaitan kumpulan itu di bawah Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan dilucutkan mana-mana item itu jika sabit kesalahan.

BACA: Jangan campur tangan, LTTE kekal kumpulan pengganas - Muhyiddin

Semalam, Mahkamah Tinggi sama melepas dan membebaskan ADUN Seremban Jaya P Gunasekaren dan pemandu teksi V Balamurugan atas pertuduhan serupa.

Ini menjadikan 10 lelaki telah dibebaskan setakat ini manakala dua lagi iaitu penjaga stor, S Thanagaraj dan ahli perniagaan, B Subramaniam akan dibawa ke mahkamah dalam masa terdekat untuk dibebaskan.

Kesemua mereka sebelum ini ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan ditempatkan di Penjara Sungai Buloh sementara menunggu perbicaraan. Di bawah SOSMA mereka tidak dibenar diikat jamin.

BACA: Gugur kes LTTE: Peguam Negara didesak letak jawatan

Kes mereka belum dibicarakan dan masih di peringkat pengurusan kes. Bagaimanapun Mahkamah Tinggi telah menetapkan perbicaraan kes itu.

Pada 21 Februari lepas, Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dalam kenyataan medianya memutuskan untuk tidak meneruskan prosiding terhadap 12 tertuduh atas alasan tiada prospek yang jelas untuk sabitan terhadap mana-mana 12 tertuduh ke atas mana-mana 34 pertuduhan yang dihadapi mereka.

BACA: LTTE: Polis belum terima makluman rasmi daripada pejabat Peguam Negara

-- Bernama