Rayuan Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah supaya Mahkamah Persekutuan membuat keputusan mengenai kesahihan penahanannya mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) tahun lepas, ditolak hari ini.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan, yang diketuai Hakim Besar Malaya yang baharu Tan Sri Ahmad Maarop, sebulat suara menolak rayuannya berhubung permohonan habeas corpus beliau berhubung penahanannya selama 10 hari mengikut SOSMA.

Panel itu dianggotai Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Zainun Ali, Tan Sri Azahar Mohamed, Tan Sri Zaharah Ibrahim dan Datuk Balia Yusof Wahi.

Maria, 60, dibebaskan pada 28 Nov tahun lepas setelah ditahan 10 hari mengikut SOSMA walaupun perintah yang dikeluarkan terhadapnya mengarahkan supaya beliau ditahan selama 28 hari.

Pada 29 Nov tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan habeas corpus beliau, sehari selepas pembebasannya, atas alasan beliau tidak lagi ditahan.

Bagaimanapun, Maria mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan habeas corpus beliau kerana mahu mahkamah menentukan kesahihan penahanan dan tuntutan ganti ruginya.

Hari ini, Hakim Ahmad memutuskan bahawa rayuannya tidak mempunyai merit dan mahkamah akan memberikan penghakiman bertulis pada masa akan datang.

Maria memfailkan permohonan habeas corpus itu pada 22 Nov tahun lepas, yang antara lain, memohon pembebasannya daripada penahanan SOSMA dengan menamakan Ketua Unit Siasatan Jabatan Jenayah Terkelas di Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Supt Tham Lai Kuan, Ketua Polis Negara, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Maria ditahan di pejabatnya pada 18 Nov, sehari sebelum perhimpunan Bersih 5 diadakan.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Nordin Hassan berhujah bahawa mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk membuat keputusan mengenai merit permohonan habeas corpus Maria memandangkan responden tidak memfailkan sebarang afidavit jawapan berhubung penahanan beliau.

Panel Mahkamah Persekutuan sebelum itu mendengar hujah peguam Maria, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar, bahawa permohonan anak guamnya itu bukannya akademik kerana adanya isu yang perlu diputuskan oleh mahkamah mengenai kesahihan penahanan dan tuntutan ganti ruginya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Abazafree Mohd Abas, yang mewakili responden, pula berhujah bahawa tiada isu bagi mahkamah membenarkan permohonan Maria memandangkan perkara itu menjadi akademik kerana Maria telah dibebaskan. -- BERNAMA