Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan ikat jamin Samirah Muzaffar yang menghadapi pertuduhan membunuh suaminya, ketua pegawai eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund) Nazrin Hassan pada Jun tahun lepas.
Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada peguam tertuduh, Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah dan pihak pendakwaan yang diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Jamil Aripin.
Dalam penghakimannya, Ab Karim berkata terdapat kemungkinan saksi-saksi dalam kes itu akan diganggu sekiranya tertuduh dibenarkan diikat jamin.
Menurut beliau, dalam kes ini, pembunuhan didakwa berkaitan dalam kalangan anggota keluarga dan saksi-saksi adalah dalam kalangan anggota keluarga selain kejadian berlaku di rumah tertuduh dan mangsa, justeru, wujud kemungkinan besar untuk saksi-saksi diganggu oleh wanita itu.
Mengenai hujahan pihak perayu (tertuduh) sama ada tertuduh boleh menyediakan pembelaan yang lengkap, Ab Karim berpendapat sudah tentu wanita itu boleh berbuat demikian meskipun berada dalam tahanan reman.
"Pihak peguam bela juga menyatakan surat-surat anak guamnya telah ditapis oleh pihak penjara dan seperti yang dinyatakan oleh pihak penjara, hanya sebahagian kecil sahaja kandungan surat tertuduh ditapis. Saya berpendapat sudah tentu keseluruhan surat telah mencapai maksudnya.
"Tertuduh juga boleh berjumpa peguam selama 45 minit dalam seminggu tertakluk kepada peraturan penjara dan ini tidak menghalang hubungan antara tertuduh dan peguamnya. Jadi tidak mungkin pembelaan tertuduh tidak dapat disediakan," katanya.
Mengenai faktor kesihatan ibu bapa serta dua anak tertuduh yang masih kecil, Ab Karim berkata perkara itu tidak cukup untuk dipertimbangkan oleh mahkamah memandangkan mereka masih mempunyai anggota keluarga rapat yang lain untuk menjaga kebajikan serta kesihatan mereka.
BACA: Balu, dua remaja lelaki didakwa bunuh CEO Cradle Fund Nazrin Hassan
Sehubungan itu, beliau memutuskan untuk menolak permohonan ikat jamin Samirah dan memerintahkan wanita itu kekal dalam tahanan reman.
Beliau turut menetapkan perbicaraan bermula 3 Sept hingga 15 Sept dan 23 Sept hingga 4 Okt depan.
Pada 12 Mac lalu, Samirah, 44, bekas eksekutif kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan dua remaja lelaki, masing-masing berumur 14 dan 17 tahun didakwa bersama-sama seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas membunuh Nazrin, 47, di sebuah rumah di Mutiara Homes, dekat sini, antara pukul 11.30 malam pada 13 Jun 2018 dan 4 pagi pada 14 Jun 2018.
BACA: Isteri, dua remaja mengaku tidak bersalah bunuh CEO Cradle Fund
Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama itu memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Mahkamah pada 27 Mac lepas bagaimanapun membenarkan kedua-dua remaja lelaki itu dibebaskan dengan jaminan RM50,000 seorang, selepas membenarkan permohonan jaminan mereka.
BACA: Kronologi kes kematian CEO Cradle Fund Nazrin Hassan
Terdahulu, Muhammad Shafee berhujah bahawa anak guamnya harus dibenarkan diikat jamin atas alasan kebebasan anak guamnya untuk berkomunikasi dengan peguam 'telah disekat' selain surat mengandungi arahan anak guamnya kepada peguam telah ditapis oleh pegawai penjara.
Tambah beliau, dalam maklumbalas yang diberikan oleh pihak penjara, terdapat peraturan yang diguna pakai pihak penjara berkenaan tapisan berkenaan.
"Beberapa alasan untuk penapisan adalah kepentingan keselamatan negara, menentukan keselamatan penjara dan pencegahan dan pengesanan jenayah, namun tidak ada seperti itu yang ditimbulkan terhadap anak guamnya.
"Apa yang dilakukan oleh pegawai itu ialah beliau membaca surat dan membuat tapisan sesuka hati. Bagi ikat jamin dipertimbangkan, bolehkah dia dalam keadaan waras beri arahan kepada peguamnya? katanya dan menmbah Samirah bersedia untuk dipasang penjejak elektronik (electronic monitor) sekiranya dibenarkan diikat jamin.
BACA: Kematian CEO Cradle sebab kecederaan berganda di kepala?
Jamil dalam hujahan balasnya pula berkata, pihak pembelaan gagal membuktikan alasan yang 'luar biasa' bagi membolehkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan.
Beliau juga berkata terdapat bahaya dan keberangkalian yang tinggi bahawa tertuduh akan melarikan diri dan berkemungkinan mengganggu saksi.
"Walaupun dalam reman, tertuduh masih boleh berjumpa dan memberi arahan kepada peguam-peguamnya. Hak tertuduh terhadap peguam tidak akan dinafikan," tambahnya.
Media sebelum ini melaporkan Nazrin maut dalam kebakaran di rumahnya di Petaling Jaya pada 14 Jun tahun lepas, yang pada mulanya dilaporkan berpunca daripada letupan telefon bimbitnya.
Pada 3 Ogos 2018, kematian Nazrin diklasifikasi sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas siasatan bomba menemukan kesan petrol di lokasi kebakaran.
-- BERNAMA
Bernama
Thu Apr 11 2019
Samirah hadir bagi permohonan jaminan di Mahkamah Tinggi hari ini. -- fotoBERNAMA
Freedom Flotilla to Gaza: Penangguhan pelayaran taktik Israel gagalkan misi - FFC
Menurut Fauziah, tekanan demi tekanan akan terus diberikan bagi memastikan misi ini gagal sepenuhnya.
Freedom Flotilla to Gaza: Pelayaran sekali lagi ditangguh, Israel didakwa terus cetus kekacauan - FFC
Rejim Israel terus-menerus mahu menghalang pergerakan kapal-kapal terlibat dalam misi ini.
Taikun Vietnam dihukum penjara 8 tahun kerana tipu pelabur AS$40 juta
Tran Qui Thanh didapati bersalah menipu pelabur berhubung pinjaman yang dikeluarkan pada 2019 dan 2020.
Negara perlu beri pengajaran tegas, haramkan Bruce Gilley
Wisma Putra wajar menggesa kedutaan AS tampil memberi penjelasan dan memohon maaf kepada rakyat serta kerajaan Malaysia.
PRK KKB: MIPP jamin PN akan terima undi terbesar kaum India
Punithan berkata, pihak lawan dilihat mula menunjukkan kebimbangan dan rasa takut dengan kekuatan yang dimiliki PN ketika ini.
Akaun Fleksibel KWSP bantu penuhi keperluan kecemasan pencarum - Pakar
Ia merupakan antara alternatif KWSP untuk memenuhi keperluan dan dana kecemasan pencarum dalam mendepani cabaran menjalani kehidupan sebelum bersara.
Trend kenaikan harga emas di Malaysia mungkin berkekalan - Penganalisis
Trend kenaikan harga emas di Malaysia mungkin akan berterusan, didorong oleh gabungan pelbagai faktor ekonomi global dan gelagat pelabur.
Capital A akan jual 100 peratus kepentingan dalam AirAsia Aviation Group, AirAsia dengan harga RM6.8 bilion
Ia memeterai perjanjian jual beli saham bersyarat dengan AAG untuk menjual AAAGL bernilai RM3 bilion manakala AAB dengan harga RM3.8 bilion.
Jawatankuasa RTG pertimbang senaraikan Nurul Izzah dalam program Fast Track RTG
Hannah berkata segala keputusan mengenai program berkenaan akan dibincangkan dan diputuskan bersama jawatankuasa program.
KWSP: Mengimbangi mandat persaraan dan sokongan kelangsungan ekonomi ahli - Pakar
Mohd Afzanizam menegaskan bahawa KWSP bukan satu-satunya organisasi yang bertanggungjawab dari segi menambah baik kehidupan masyarakat.
Hakim Mahkamah Tinggi Ab Karim gapai cita-cita jadi peguam
Cita-cita Datuk Ab Karim Ab Rahman untuk menjadi peguam sejak kecil akhirnya tercapai selepas diterima masuk sebagai peguam bela dan peguam cara di Mahkamah Tinggi Malaya.
Kes bunuh CEO Cradle Fund: Samirah, dua anaknya dilepas dan dibebaskan
Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan untuk melepas dan membebaskan Samirah Muzaffar, dan dua anaknya berhubung kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Nazrin Hassan empat tahun lalu.
Mahkamah tolak permohonan ikat jamin balu CEO Cradle Fund
Dalam penghakimannya, Ab Karim berkata terdapat kemungkinan saksi-saksi dalam kes itu akan diganggu sekiranya tertuduh dibenarkan diikat jamin.
Isteri, dua remaja mengaku tidak bersalah bunuh CEO Cradle Fund
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.