Malaysia akan terus sedaya upaya membantu saudara se-Islam di Palestin dan Myanmar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Bagaimanapun, beliau berkata semua umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia perlu bersatu hati untuk menamatkan segala penderitaan dan penindasan terhadap mereka.

"Semoga Allah menyatukan hati-hati kita dan berterusan mengurniakan rahmat keamanan dan kestabilan kepada bumi Malaysia, agar dapat kita terus menggunakan pengaruh kita sebagai negara Islam contoh, membela nasib umat Islam yang tertindas di mana sahaja di dunia, Insya-Allah," katanya dalam blog www.najibrazak.com, hari ini.

Perdana menteri berkata sepanjang tahun 2017, Malaysia terus dirahmati oleh Allah, kekal makmur, aman dan harmoni serta terus menjadi negara Islam contoh yang berpengaruh dengan suara yang kuat untuk membela Islam dan umatnya di serata dunia.

Berhubung isu Baitulmaqdis, beliau berkata Malaysia menentang sekeras-kerasnya dan tidak mungkin akan bersetuju sampai bila-bila usaha Amerika Syarikat mengiktirafnya sebagai ibu negara Israel.

"Perkara ini saya tegaskan berulang kali, di Perhimpunan Agung UMNO, di Mesyuarat Tergempar OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) di Istanbul dan juga di Perhimpunan Solidariti: Selamatkan Baitulmaqdis," katanya.

Selain itu, Najib berkata penderitaan dan penindasan yang dialami oleh masyarakat Rohingya di Myanmar juga turut menyentuh hati umat Islam di negara ini dan Malaysia dengan lantang mengkritik dan membawa isu itu bukan sahaja di peringkat ASEAN tetapi juga di mata dunia.

Beliau menjelaskan Malaysia terus menghulurkan bantuan demi bantuan bagi meringankan penderitaan etnik Rohingya selain membuka pintu kepada segelintir daripada mereka untuk menumpang keamanan dan kestabilan yang ada di Malaysia selain menghulurkan bantuan kepada pelarian Rohingya yang berada di Bangladesh dan Myanmar.

"Pada Februari 2017, Malaysia menerusi badan bukan kerajaan (NGO) Yayasan Ikhlas telah menghantar sumbangan kewangan sebanyak RM172,500 melalui NGO Bangladesh untuk pelarian Rohingya yang tinggal di kem pelarian Kutupalong dan Balukhali di Bangladesh.

"Seterusnya pada September 2017, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyelaras penghantaran sumbangan kemanusiaan bernilai RM4 juta berupa barangan dan peralatan juga diagihkan kepada pelarian Rohingya di sempadan Bangladesh," katanya.

Najib berkata 12 tan bantuan makanan dan barang keperluan seperti lampin pakai buang, tuala, beras dan biskut juga disalurkan kepada pelarian Rohingya di Bangladesh melalui misi bantuan kemanusiaan oleh Angkatan Tentera Malaysia, Pejabat Perdana Menteri dan NGO iM4U.

Katanya Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan beberapa NGO Islam dari Malaysia turut menghantar bantuan dalam bentuk barangan makanan dan ubat-ubatan khas kepada 140,000 orang pelarian Rohingya di Bangladesh yang bernilai RM200,000.

Selain itu, katanya Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) kemudiannya telah membuka klinik bergerak di penempatan pelarian Rohingya di kem Thangkhali dan Kutupalong serta memberikan bantuan makanan.

"Selain penghantaran bantuan kemanusiaan, kerajaan juga telah menubuhkan Hospital Medan dengan kos RM3.5 juta yang mempunyai sebanyak 50 buah katil dan boleh menempatkan seramai 150 pesakit pada satu masa selain dilengkapi bilik pembedahan, X-ray serta bilik khas bagi kemudahan ibu dan anak di kem pelarian Rohingya di Cox's Bazar, Bangladesh.

"Hospital Medan ini dibina bagi membolehkan pelarian Rohingya mendapatkan perkhidmatan rawatan perubatan termasuk pemeriksaan bagi ibu mengandung," katanya.

-- BERNAMA