Malaysia sewajarnya mengambil peluang perang perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China untuk meningkatkan perdagangan dalam negara ASEAN.



Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata Malaysia tidak seharusnya melihat perkara itu sebagai satu krisis, sebaliknya perlu memanfaatkan peluang yang ada dalam usaha merancakkan ekonomi negara.



Ia berikutan, kebanyakan syarikat-syarikat besar China dan AS bertindak mengalihkan operasi masing-masing ke rantau ini termasuk Malaysia berikutan pasaran ASEAN yang besar dengan jumlah penduduk sebanyak 630 juta orang.



“Pasaran ASEAN sahaja besar, kita ada 630 juta rakyat dalam kalangan negara ASEAN. Kalau kita gabungkan dengan populasi di negara China, 1.4 bilion, di rantau ini sahaja kita ada hampir 2 bilion penduduk.



“Maka pasaran ini besar, maknanya Malaysia boleh tawarkan sebagai laluan untuk mereka memasuki pasaran ASEAN kerana pasaran ASEAN sahaja terlalu besar,” kata Azmin pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kunci Pangsapuri Kos Sederhana Rendah Casa Anggun yang dibangunkan JKP Sdn Bhd di Sungai Nibong, di Bayan Baru pada Sabtu.



Mengulas selanjutnya, Mohamed Azmin berkata beliau tidak menafikan bahawa pertikaian AS-China itu turut memberi kesan kepada ekonomi negara memandangkan kedua-dua negara kuasa ekonomi terbabit merupakan rakan dagang penting untuk Malaysia.



Beliau mengulas pertikaian dagangan Washington-Beijing yang berlanjutan, termasuk rundingan dagangan terbaharu kedua-dua negara di Shanghai pada Rabu lepas yang berakhir tanpa sebarang keputusan konkrit.



Pada majlis itu, beliau mengingatkan pemaju hartanah untuk menerapkan konsep baharu bagi pembangunan rumah mampu milik yang tidak hanya merangkumi aspek keluasan selesa tetapi perlu dilengkapi pelbagai kemudahan lain seperti dewan orang ramai, kolam renang, jimnasium, surau dan sebagainya.



Katanya, kerajaan menetapkan konsep baharu pembangunan rumah mampu milik ini mestilah mempunyai sekurang-kurangnya tiga bilik dengan reka bentuk baharu supaya kehidupan menjadi lebih selesa.