Malaysia mengutuk dengan sekeras-kerasnya ujian nuklear oleh Korea Utara hari ini.

Wisma Putra berkata ujian itu, yang merupakan ujian kali keenam oleh Korea Utara sejak ujian pertamanya pada 2006, adalah pencabulan yang jelas terhadap Resolusi-Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Tindakan bersifat provokatif ini merupakan ancaman yang serius kepada keamanan dan keselamatan antarabangsa," menurut Kementerian Luar dalam satu kenyataan malam ini.

Malaysia amat kesal dengan insiden terbaharu ini yang hanya akan mengeruhkan lagi situasi yang sedia tegang di Semenanjung Korea dan rantau tersebut secara keseluruhannya.

Menggesa Korea Utara menghentikan sebarang ujian lanjut serta menghentikan program nuklear dan peluru berpandu balistiknya, Wisma Putra berkata Malaysia juga bertegas mahu Korea Utara mematuhi sepenuhnya obligasi antarabangsa demi memelihara keamanan dan keselamatan serantau dan antarabangsa.

Korea Utara dilaporkan menjalankan ujian nuklearnya yang paling besar setakat ini, dengan mendakwa ia telah membangunkan bom hidrogen canggih yang boleh dipasang di atas peluru berpandu balistik antara benua.

-- BERNAMA