Hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura akan terus diperkukuh hasil lawatan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke republik itu bermula esok.

Lawatan selama empat hari itu seiring dengan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-33 yang bakal membuka tirai secara rasmi pada Selasa.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata lawatan rasmi kali ini merupakan kali pertama buat Dr Mahathir selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada Mei lalu.

“Lawatan ini akan memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan mengenai pelbagai isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama dan meneroka prospek kerjasama untuk manfaat bersama.

“Malaysia dan Singapura telah menjalinkan hubungan diplomatik selama 53 tahun dan mengekalkan hubungan baik sebagai jiran terdekat serta rakan ASEAN. Kedua negara mempunyai kerjasama yang erat dalam pelbagai sektor termasuk perdagangan dan pelaburan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Tambah beliau, Singapura merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia selepas China di mana nilai perdagangan dua hala Malaysia-Singapura pada tahun 2017 berjumlah RM 220.88 billion iaitu 12.9 peratus daripada jumlah perdagangan global negara.

Dr Mahathir yang akan ditemani isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali akan bertemu dengan pemimpin-pemimpin Singapura termasuk Presidennya, Halimah Yacob; Perdana Menteri, Lee Hsien Loong dan Menteri Kanan Emeritus, Goh Chok Tong.

Jadual yang begitu padat bagi beliau bermula esok itu akan turut diselitkan dengan beberapa pertemuan dengan pemimpin negara lain seperti Presiden Rusia, Vladimir Putin; Perdana Menteri Australia, Scott Morrison dan Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern.