Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

#Malaysia2020: Bidang kuasa Agong dalam menentukan kedudukan PM, Kabinet

#Malaysia2020: Bidang kuasa Agong dalam menentukan kedudukan PM, Kabinet
Selaras dengan Perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong boleh menggunakan budi bicara yang mutlak dalam urusan dalam pelantikan Perdana Menteri baharu. -Foto BERNAMA
KEMELUT politik negara yang berlaku ketika ini agak membimbangkan kalangan masyarakat.

Ketidakstabilan politik yang bermula sejak Ahad memuncak apabila Malaysia digemparkan dengan peletakan jawatan Perdana Menteri secara mengejut oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada Isnin.
Ekoran peletakan jawatan Dr Mahathir, pada hari sama, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah membuat keputusan melantik Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Interim bagi menerajui negara buat sementara waktu.

Pelantikan sementara itu juga sekali gus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan ramai pemerhati politik di negara ini.
Namun, tahukah anda apa bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam menentukan kedudukan Perdana Menteri dan Kabinet?

Berikut adalah beberapa perkara yang anda perlu tahu mengenai bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong, yang termaktub dalam Perlembagaan:


Yang di-Pertuan Agong ada kuasa untuk tangguh atau bubar Parlimen

Menurut peguambela dan peguamcara, Datuk Setia Salehuddin Saidin, bidang kuasa menangguh atau membubarkan Parlimen termaktub di bawah Perkara 55 Fasal (2) Perlembagaan Persekutuan.

Namun begitu, kata beliau, yang menjadi persoalan ialah adakah Perkara 55 Fasal (2) itu perlu dibacakan secara bersama-sama Perkara 40 dan 43 dalam Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan kuasa tersebut mesti datang daripada Perdana Menteri.

"Jika tidak ada dan tidak tahu siapa majoriti, ada kemungkinan Agong boleh gunakan kuasa di bawah Perkara 55 untuk bertindak membubarkan Parlimen," katanya menerusi temu bual khas dalam Buletin AWANI pada Rabu.



Pada Selasa, semua Ahli Parlimen dititah untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi menamakan seorang calon untuk jawatan Perdana Menteri dalam sesi temu bual secara peribadi.

Mengulas lanjut, Salehuddin menambah, sekiranya Perdana Menteri Interim gagal membentuk majoriti gabungan untuk membentuk kerajaan, Perkara 55 untuk membubarkan Parlimen boleh terpakai bagi melaksanakan Pilihan Raya Umum ke-15.

"Situasi ini tidak pernah berlaku tapi kalau lihat peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, tidak menyatakan baginda tidak boleh dilakukan cuma yang dinyatakan ialah Yang di-Pertuan Agong may prorogue or dissolve the Parliament.

"Kalau dirujuk balik jadual 8 dalam Perlembagaan juga menyatakan hal yang sama," ujarnya.


Agong berhak dalam urusan pemilihan dan pelantikan Perdana Menteri baharu

Selaras dengan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong boleh melantik seorang Perdana Menteri dalam kalangan Ahli Parlimen, yang Baginda berpendapat mempunyai sokongan majoriti dalam Dewan rakyat.

Menurut Presiden Majlis Peguam Negara, Datuk Abdul Fareed Abdul Gafoor biarpun pemilihan seseorang individu untuk menggalas jawatan Perdana Menteri tertakluk kepada sokongan ahli-ahli Dewan Rakyat sendiri, ia masih memerlukan budi bicara Yang di-Pertuan Agong.

BACA: Pelantikan Perdana Menteri interim: Apa langkah seterusnya?

“Perdana Menteri boleh dipilih dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat yang mendapat mandat ataupun kepercayaan kepada beliau.

"Namun, ia juga masih mengikut budi bicara Yang di-Pertuan Agong,” jelas Abdul Fareed.



Malah, Perkara 32(1) turut menyebut bahawa perlu ada seorang Ketua Utama Negara bagi Kerajaan Persekutuan.

“Yang di-Pertuan Agong, hendaklah diberi keutamaan daripada segala orang di dalam Persekutuan dan yang tidak boleh dikenakan apa-apa prosiding di dalam mana-mana mahkamah kecuali di dalam Mahkamah Khas yang ditubuhkan di bawah Bahagian XV,” tulis Perkara 32(1) di dalam Perlembagaan.

BACA: Lantik PM baharu, Agong zahirkan nilai-nilai kepimpinan Melayu dalam Institusi Diraja

Malah, di dalam Perkara 39 Kuasa eksekutif Persekutuan turut menyebut Yang di-Pertuan Agong mempunyai hak untuk memberikan fungsi eksekutif kepada orang lain

“Terletak hak pada Yang di-Pertuan Agong dan tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan dan peruntukan Jadual Kedua, bolehlah dijalankan atau Jemaah Menteri atau mana-mana Menteri yang diberi kuasa Jemaah Menteri melalui undang-undang untuk memberikan fungsi eksekutif kepada orang lain.

Yang di-Pertuan Agong sebagai Pemerintah Tertinggi angkatan tentera Persekutuan

Di dalam Perkara 41 Pemerintah tertinggi, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa menjadi Pemerintah Tertinggi angkatan tentera Persekutuan.



Selaras dengan Perkara berkenaan, Yang di-Pertuan Agong boleh menggunakan budi bicara yang mutlak dalam urusan dalam pelantikan Perdana Menteri baharu.

“Perlu diingatkan bahawa dalam pelantikan Perdana Menteri baharu, Yang di-Pertuan Agong mempunyai budi bicara yang mutlak berdasarkan:

a. Perkara 40(2) yang menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut, iaitu:

(i) melantik seorang Perdana Menteri;

(ii) tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen; dan

b. Perkara 43(2)(b) yang menyebut Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri.