Tidak terdapat bukti yang menyokong bahawa pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 sengaja dijunamkan ke laut, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), yang mengetuai usaha mencari MH370 di dasar laut selatan Lautan Hindi, merumuskan suatu teori bahawa pesawat itu berada dalam 'keadaan tidak dikawal ketika mendarat di air'.

"Ini mematahkan teori bahawa ia berada dalam 'keadaan dikawal' yang disiarkan baru-baru ini," katanya merujuk kepada laporan yang memetik seorang penyiasat nahas udara bahawa MH370 dengan sengaja dijunamkan ke laut.

BACA: Pesawat MH370 menjunam pada kelajuan hampir 400km sejam pada saat terakhir

BACA: Maklumat simulator tidak dedahkan apa yang berlaku dalam kehilangan pesawat

BACA: Australia tolak laporan mengenai siasatan FBI ke atas juruterbang MH370

Perkara itu berdasarkan keadaan hakisan pada tepi bahagian sayap yang dijumpai.

Laporan berkenaan membuat andaian bahawa bahagian dikenali sebagai flaperon itu hanya boleh dikembangkan oleh juruterbang yang mengawal sepenuhnya sesuatu pesawat.

- Simulator bukan bukti -

Mengenai simulator penerbangan di rumah juruterbang MH370 Kapten Zaharie Ahmad Shah, Liow berkata laluan penerbangan ke selatan Lautan Hindi yang diperoleh daripada simulator itu hanya satu daripada beribu-ribu laluan yang terdapat di dalamnya.

"Tidak ada keterangan untuk membuktikan bahawa Kapten Zaharie menerbangkan pesawat berkenaan di kawasan itu. Simulator berkenaan digunakan juruterbang itu untuk tujuan cuba-cuba di banyak kawasan.

Terdapat banyak simulasi ke pelbagai destinasi.

"Memang terdapat simulasi menunjukkan ia terbang ke banyak bahagian dunia dan tempat itu (selatan Lautan Hindi) adalah satu daripadanya. Kami tidak boleh buat pengesahan berdasarkan perkara itu," katanya.

Penerbangan MH370, yang membawa 239 penumpang dan anak kapal, hilang daripada pengesanan radar setelah berlepas dari Kuala Lumpur menuju Beijing pada 8 Mac 2014.

Pesawat itu belum dijumpai walaupun gerakan mencari secara besar-besaran dilakukan di selatan Lautan Hindi, kawasan ia dipercayai mengakhiri penerbangannya setelah melencong daripada laluan asal.

Pada 22 Julai, Malaysia, China dan Australia bersetuju menggantung dan bukan menamatkan usaha mencari Penerbangan MH370 selepas gerakan mencarinya selesai dilakukan di kawasan keutamaan seluas 120,000 kilometer persegi, yang mungkin dapat disempurnakan pada Oktober atau Disember ini.

Mengenai flaperon yang dijumpai di La Reunion Island pada Julai tahun lepas, Liow berkata pihak berkuasa Perancis bertegas mereka ingin menyimpannya untuk keterangan di mahkamah.

"Sementara itu, pihak berkuasa Perancis masih menjalankan penyiasatan serta dalam proses membuat pengesahan lanjut tentang flaperon berkenaan dan sedang menunggu beberapa dokumen serta maklumat daripada beberapa pihak berkuasa, termasuk Boeing.

"Pihak berkuasa Perancis memang mempunyai hak untuk menyimpan flaperon itu, tetapi kami mahu ia dipulangkan kepada Malaysia," katanya sambil menambah bahawa tiada tempoh masa ditetapkan untuk pihak berkuasa Perancis berbuat demikian.