Mayat lelaki yang ditinggalkan di Hospital Kelaboran, Tumpat tengah malam Sabtu dipercayai dibunuh di negara jiran sebelum mayatnya dihanyut dan ditemui di Pengkalan Pisau Raut, Bendang Pak Yong, Tumpat berhampiran sempadan Thailand.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, mayat berkenaan telah dihantar oleh adik mangsa dan rakannya ke hospital Tumpat sekitar tengah malam.

"Adik mangsa telah menerima panggilan mengatakan bahawa mayat abangnya diletakkan dalam sebuah perahu sebelum dihanyut ke seberang sini (sempadan Malaysia-Thailand).

"Sebenarnya kes ini masih dalam proses mengenal pasti punca dan motif kerana menurut laporan awal, mangsa meninggal di selatan Thailand tetapi mayat ditemukan di Pengkalan Pisau Raut," ujarnya.

Adik mangsa hanya mengetahui perkara tersebut setelah menerima panggilan bahawa mayat abangnya ditinggalkan dalam sebuah bot.

Mayat mangsa ditemui dengan kesan luka di kepala dipercayai terkena tembakan dari senapang angin dan sedikit kecederaan di tangan.

Pihak polis dimaklumkan mengena penemuan mayat berkenaan oleh pihak hospital sekitar jam 11 malam.

"Polis akan mendapatkan maklumat dari pihak berkuasa di sana kerana kes berkenaan berlaku di negara jiran dan ianya dipercayai baru berlaku malam tadi (Sabtu)," ujarnya.

Menurut Dr Ab Rahman lagi, siasatan terperinci akan dilakukan kerana mangsa juga mempunyai dua rekod jenayah lampau.

Beliau tidak menolak kemungkinan mangsa terlibat dalam pergeseran dengan pihak tertentu yang berlaku di negara jiran dan mangsa juga dipercayai tidak berseorangan ketika berada di sana.

Mangsa dikenali sebagai Mohd Redzuan Mohamad, 27, berasal dari Kampung Bendang Pak Yong dan masih belum berkahwin.

Pada tengah malam tadi (Sabtu), Hospital Kelaboran memaklumkan terdapat beberapa lelaki meninggalkan satu mayat di bilik mayat hospital berkenaan sebelum memaklumkan kepada pihak polis.

Dr Abdul Rahman ditemui pemberita selepas melawat kanak-kanak yang mengalami penyakit gangguan saluran air kencing di Kampung Berangan di sini petang tadi (Ahad) serta menyampaikan sumbangan.