Empat kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada Selasa meneruskan misi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang kini masuk fasa kedua.

Panglima Wilayah Laut 1, Laksamana Muda Datuk Azhari Abdul Rashid berkata dua kapal, KD Selangor dan KD Kelantan telah berlepas dari Pangkalan TLDM Lumut pada pukul 1 pagi Selasa.

"KD Pahang dan KD Terengganu memulakan perjalanan dari Pangkalan TLDM Tanjung Gelang, di sini pada pukul 2.45 petang tadi," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pelepasan dua buah kapal itu di sini pada Selasa.

Azhari berkata KD Pahang dan KD Terengganu akan menyertai misi pencarian pesawat itu di lautan Koridor Selatan yang menjangkau dari Utara Indonesia sehingga ke selatan Lautan Hindi.

Misi kedua-kedua kapal itu kali ini disertai oleh 150 pegawai dan kakitangan serta dibantu sebuah helikopter Fennex, katanya.

Pegawai Memerintah Komander Mohd Zailani Mohd Nor KD Pahang akan mengetuai KD Pahang KD Terengganu diterajui Pegawai Memerintah Komander Zaidi Ishak.

Pesawat MH370 yang hilang kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 12.41 pagi 8 Mac lepas membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal.

Azhari menjelaskan, pihaknya tidak mempunyai sebarang tempoh waktu bagi operasi mencari MH370 dan ia akan dijalankan selama mana yang diperlukan.

"Malah semangat anak-anak kapal masih tinggi untuk menyertai misi bagi membolehkan pesawat MH370 dijumpai semula," katanya.