Perak akan melaksanakan sepenuhnya sistem ladang babi moden mulai 1 Januari 2022 bagi menjaga kesejahteraan alam dan mesra awam.

Mulai tarikh tersebut, semua jabatan dan agensi yang terlibat akan melaksanakan penguatkuasaan untuk menutup ladang-ladang babi tradisional.

Menurut Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Negeri Perak, A. Sivanesan, buat masa ini terdapat 109 ladang babi di Perak.

“Sekarang apa yang kita nampak, apa yang dipraktik selama ini adalah sistem terbuka dan inilah jadi punca dan masalah kepada masyarakat, bau.

“Tetapi dengan sistem ini, selepas kajian demi kajian, demi kajian kita boleh sahkan bahawa masalah ini dapat kita selesaikan,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan program roadshow ke arah pelaksanaan sistem ladang babi moden di Ipoh, pada Selasa.

Sivanesan berkata, sistem ladang babi moden yang menggunakan kaedah kandang tertutup dapat mengawal pencemaran udara, sungai, kacau ganggu bau dan lalat serta mahluk perosak, selain memudahkan kawalan penyakit.

Setakat ini, terdapat 16 ladang babi di Perak telah mula menghala ke arah konsep ladang moden di samping 44 lagi sedang dalam proses perubahan kepada konsep yang sama.