KOTA BHARU: Mulai esok, hanya individu yang disahkan positif COVID-19 menerusi ujian saringan Tindak Balas Berantai Polimerase Masa Nyata (RT-PCR) akan dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Kelantan.

Pengarah PKRC Kelantan Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir berkata keputusan untuk hanya menggunakan RT-PCR sebagai ujian pengesahan bagi tujuan itu dibuat oleh Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) negeri memandangkan jumlah kes yang semakin menunjukkan penurunan.

"Bagi kawasan di lokaliti membabitkan kluster dengan kadar positiviti yang tinggi, penggunaan RT-PCR adalah dikecualikan sebaliknya akan menggunakan RTK-AG yang akan ditentukan oleh CPRC negeri dengan persetujuan CPRC Kementerian Kesihatan Malaysia," katanya kepada pemberita ketika meninjau PKRC Dewan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara di Tanjong Chat hari ini, yang turut dihadiri Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Datuk Dr Selasawati Ghazali.

Terdahulu, Dr Mohd Zurairie menerima 10 unit pemekat oksigen sumbangan Persatuan Torasik Malaysia dan Yayasan Paru-Paru Malaysia bagi membantu rawatan pernafasan pesakit COVID-19 di PKRC Kelantan.

Mengulas lanjut, beliau berkata dua lokasi yang sebelum ini dijadikan PKRC iaitu asrama Hospital Tengku Anis di Pasir Puteh dan asrama Hospital Pasir Mas akan digunakan sebagai tempat pengasingan bagi individu yang didapati positif ujian saringan COVID-19 menerusi kaedah RTK-AG.

"Mereka hanya akan dimasukkan ke PKRC sekiranya ujian RT-PCR yang dijalani selepas itu menunjukkan keputusan positif," katanya.

Dr Selasawati pula berkata setakat ini, peratus penggunaan unit rawatan rapi di HRPZ II semakin berkurangan sehingga 76 peratus berbanding 90 hingga 95 peratus sebelum ini.

-- BERNAMA