Operasi mencari pesawat MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014, semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing bakal ditamatkan dalam tempoh dua minggu.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, operasi mencari kini hampir melengkapi fasa terakhir.

Misi pencarian diketuai Australia meliputi 120,000 kilometer persegi membabitkan kos RM650 juta yang ditanggung oleh tiga negara Malaysia, Australia dan China.

Liow berkata, langkah seterusnya bagi operasi itu akan ditentukan dalam mesyuarat khas bersama menteri tiga negara sebelum sambutan Tahun Baru Cina.

"Malaysia, Australia dan China komited untuk kita habiskan misi pencarian kita di kawasan 120 ribu kilometer persegi dan kita dalam peringkat terakhir sekarang.

"Hanya tinggal lebih kurang satu atau dua minggu lagi kita akan selesai siap mencari dan apabila siap nanti kita akan buat laporan dan maklum kepada semua", katanya selepas Majlis Kempen Keselamatan Jalan Raya di Plaza Tol Sungai Besi disini.

BACA: MH370 mungkin tidak berada di kawasan pencarian - ATSB

BACA: Laporan ATSB: Waris harap pencarian MH370 diteruskan di kawasan baharu

Beliau juga berkata laporan penuh akan didedahkan kepada umum yang dimuat naik di laman sesawang Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB).

"Misi pencarian akan tamat tidak lama lagi dan selepas itu laporan operasi pencarian akan dikeluarkan secara online. Sebarang keputusan berdasarkan laporan itu akan dibuat kemudian," katanya.

Pada 8 Mac 2014, penerbangan MH370 hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan 239 penumpang dan anak kapal.