Siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) terhadap isu 1MDB perlu disambung segera.

Pengerusi Majlis Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Samad, berkata ia perlu kerana berhubung kait dengan imej dan integriti kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diterajui UMNO.

"Penangguhan terhadap siasatan itu hanya akan memberi imej negatif kepada kerajaan. Siasatan berkenaan perlu diteruskan segera kerana ia mendapat teguran daripada pelbagai pihak, khususnya masyarakat umum.

"Kita tidak mahu rakyat dan umum lihat semua penyiasatan dan persoalan terhadap 1MDB oleh Parlimen terbantut atas sebab soal jawatan dalam PAC itu tak boleh diisi segera, namun sebagai mewakili BNBBC, saya serahkan perkara ini kepada jemaah menteri.

"Saya sudah sampaikan kepada jemaah menteri, kita tengok perkembangan seterusnya," katanya semasa sidang media selepas merasmikan mesyuarat perwakilan pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru di RnR Bistro, Johor Bahru.

BACA: Pelantikan PAC: BNBBC gesa PM adakan sidang Parlimen khas

BACA: Prosiding 1MDB kami disabotaj - Naib Pengerusi PAC

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata pelantikan Jawatankuasa Pemilih Parlimen, Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa PAC yang baharu akan dibuat pada sidang Parlimen 19 Oktober nanti.

Katanya, tarikh itu merupakan hari pertama Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Majlis Parlimen Ketiga Belas.

Jelasnya, tarikh itu ditetapkan setelah mengambil kira beberapa faktor utama, termasuk masa yang diperlukan untuk mencadangkan nama-nama baharu bagi mengantikan ahli Jawatankuasa Pemilih Parlimen sedia ada.