Pengarah Kesihatan negeri diarah memantau dan meyiasat klinik-klinik swasta di negeri masing-masing berikutan terbongkarnya perkhidmatan doktor palsu.

Itu gesaan Menteri Kesihatan Datuk Liow Tiong Lai susulan penahanan seorang pondan yang menyamar sebagai doktor palsu di daerah Melaka tengah.

Lelaki yang ditahan tersebut dipercayai menyamar sebagai doktor perubatan dan memperdayakan lima klinik swasta untuk menerimanya sebagai pekerja sambilan.

Tiong Lai juga menyeru Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya menyiasat dan mengambil tindakan ke atas individu dan klinik yang terlibat secepat mungkin.

“Saya juga telah meminta kalau boleh semua klinik sebelum mereka mengupah mana-mana doktor perlu di periksa dengan pertubuhan Malaysia Medical Council, MMC kerana mereka mempunyai satu system yang baik dan mudah untuk mendapat pemeriksaan,” kata Menteri Kesihatan.

Tambahnya lagi, Kementerian Kesihatan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba melanggar peraturan dan akan disiasat di bawah akta perubatan 1971 dan akta jenayah.

Tiong Lai berkata demikian selepas melancarkan Ekspo “I Want Sihat Bersamamu” di SRJK (C) Connaught 2.

Ekspo anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia itu bermatlamat memupuk kesedaran kesihatan dan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.