Perjalanan masih jauh untuk negara ini menyaksikan pelantikan Speaker Parlimen yang benar-benar neutral, seperti mana yang diamalkan negara demokrasi lain.

Pakar Perlembagaan Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata, sudah menjadi kelaziman di Malaysia bahawa pemilihan Speaker itu berdasarkan kehendak kerajaan semasa, walaupun secara idealnya ia harus bersikap adil kepada blok kerajaan dan pembangkang.

“Dari segi asalnya kalau kita mengikut amalan di negara lain, terutamanya Westminster di England, kerana kita ini mengambil sempena amalan di England itu seawal tahun 1909 iaitu apabila kerajaan British membentuk Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.

“Tetapi setelah kita merdeka pada tahun 1957, sampai sekarang nampaknya kecenderungan kita supaya Speaker itu melebihkan pihak kerajaan, memang itu yang ada sekarang,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Beberapa laporan media sebelum ini menyebut Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 26 Jun lepas menghantar usul untuk menukar Speaker Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dan Timbalannya, Nga Kor Ming.

Mohamad Ariff, ketika dihubungi mengesahkan telah menerima usul mencadangkan khidmatnya bersama Kor Ming ditamatkan, selari peraturan majlis mesyuarat.

BACA: Perlu berani ubah persepsi Speaker Dewan Rakyat hanya pro-Kerajaan

BACA: Mohamad Ariff sahkan terima usul cadang khidmat beliau sebagai Speaker ditamatkan

Selain itu, Suruhanjaya Pilihan Raya memaklumkan Datuk Azhar Azizan Harun telah meletakkan jawatan pada 29 Jun, menguatkan lagi desas-desus bahawa beliau bakal dicalonkan sebagai Speaker Dewan Rakyat yang baharu

Manakala bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Datuk Seri Azalina Othman Said akan menggantikan Kor Ming sebagai Timbalan Speaker yang baharu.

BACA: Azhar Harun letak jawatan Pengerusi SPR 29 Jun lalu

Mengulas mengenai pencalonan Speaker baharu, Shamrahayu berkata, tiada pengalaman sebagai wakil rakyat, atau sebahagian daripada jentera pentadbiran kerajaan boleh dilihat sama ada sebagai kekuatan atau kelemahan individu itu.

“Kalau kita ikut normal keadaan sekarang ini ia akan menjadi hangat sebabnya pertukaran kerajaan satu, dan kemudiannya usul yang digembar-gembur dalam media itu ketikanya ialah pihak ahli politik itu sendiri sekarang sudah mempunyai pengalaman dalam kerajaan dan pembangkang.

“Jadi di sini, saya fikir ia agak mencabar. Sebelum ini agak mencabar juga bila Pakatan Harapan mengambil tampuk kerajaan, bertukar daripada barisan nasional. Tapi ini juga satu keadaan yang mencabar.

“Jadi kebolehupayaan Speaker itu amat ditunggu-tunggu, jadi beliau yang dicadangkan, yang dinamakan Speaker itu bukan lah seorang yang pernah berkhidmat sebagai ahli wakil rakyat, dan terlibat secara langsung dalam perbincangan dalam dewan rakyat,” katanya lagi.