Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar semua pegawai Kerajaan Persekutuan yang berkhidmat di negeri Selangor supaya patuh kepada dasar, undang-undang, peraturan serta garis panduan yang telah diputuskan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Baginda bertitah, mereka juga perlu memberikan ketaatan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada baginda selaku Ketua Agama Islam di Selangor sepanjang perkhidmatan mereka di negeri itu walaupun menerima gaji dan elaun daripada Kerajaan Persekutuan.

“Ahli-ahli MAIS yang terdiri daripada golongan profesional yang mempunyai kemahiran dan kebijkasanaan perlu berusaha keras bagi mengembangkan syiar Islam disamping tidak mengenepikan pembangunan ekonomi umat Islam di negeri Selangor.

“Beta mahu MAIS menjadi satu institusi agama Islam yang berwibawa dan dihormati serta menjadi contoh kepada institusi agama lain di negara ini,” titah baginda pada Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan Ahli-Ahli Majlis Agama Islam Selangor bagi sesi 2018-2010 di Istana Alam Shah, di sini, pada Rabu.

Baginda bertitah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hanya bertindak sebagai badan agama di peringkat persekutuan yang berfungsi untuk menyelaras perkara yang berkaitan Islam antara negeri-negeri di negara ini.

“Setiap satu dasar berkaitan agama Islam dari pihak JAKIM sebagai contohnya isu-isu berkaitan dengan pensijilan halal, zakat, pemakaian sesuatu fatwa, wakaf dan sebagainya yang ingin dilaksanakan di negeri Selangor perlu merujuk kepada MAIS terlebih dahulu.

“MAIS sebagai badan penasihat agama Islam perlu mengangkat perkara tersebut kepada Beta untuk dilulus dan dilaksanakan,” titah baginda.

Sementara itu, baginda turut menitahkan agar imam dan pegawai agama di masjid-masjid dan surau-surau di Selangor agar mempertahankan ajaran serta kesucian agama Islam.

“Ceramah juga perlu dipantau agar tidak menyeleweng dan mengelirukan masyarakat Islam. Perkara ini telah selalu Beta tegaskan sebelum ini, namun masih terdapat imam dan pihak nazir masjid yang engkar dan tidak mematuhi titah Beta.

“Ini menyebabkan berlakunya ajaran dan ceramah yang mengelirukan masyarakat Islam di masjid-masjid dan surau-surau di negeri ini,” titah Sultan Sharafuddin.