Tempoh bekerja tidak harus dijadikan faktor penyumbang kekurangan tidur kerana mengikut peruntukan undang-undang, seseorang pekerja itu tidak boleh bekerja lebih 12 jam sehari, kata Pengarah Eksekutif Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan.

Menurut Shamsuddin, seseorang pekerja itu mungkin perlu mempertimbangkan untuk mengurangkan aktiviti di luar selepas waktu bekerja sehingga mereka dapat pulang cepat dan mendapatkan tidur yang secukupnya.

Beliau berkata, kebanyakan syarikat sudah menyediakan tempat riadah di premis masing-masing dan pekerja digalakkan untuk melakukan aktiviti riadah di ruang tersebut.

"Memang syarikat sudah menyediakan tempat riadah di tempat kerja. Dan terpulang kepada pekerja untuk menggunakan tempat riadah itu sepenuhnya, sama ada untuk bersenam dan sebagainya.

"Kami menggalakkan pekerja untuk beriadah daripada tidur kerana tidur itu harus dilakukan di tempat yang lebih selesa seperti di rumah mereka.

"Dan mungkin mereka perlu kurangkan aktiviti di luar di mana mereka tidak akan balik ke rumah dengan cepat dan tidak dapat tidur dengan sempurna," katanya.

Katanya lagi, pekerja perlu diberikan penerangan mengenai tempoh tidur yang diperlukan supaya mereka berada dalam keadaan optimum untuk melaksanakan tugasan di tempat kerja.

Sementara itu, beliau juga menyarankan kerajaan supaya memberikan insentif kepada semua majikan kerana ia memerlukan kos yang tinggi untuk untuk menyediakan dan menyelenggara ruang beriadah tersebut.

"Kami boleh mencadangkan kepada pihak kerajaan supaya perkara dapat diperhalusi dan bagaimana kerajaan harus membantu syarikat dan pekerja dalam menangani isu ini.

"Kami akan berbincang dengan Kementerian Kewangan dan Kementerian Kesihatan mengenai cadangan pemberian insentif ini," katanya.

Pada Jumaat, Kajian Tempat Kerja Paling Sihat Malaysia oleh AIA Vitality 2019 mendedahkan 53 peratus pekerja di negara ini tidak mendapat tidur yang mencukupi iaitu sekurang-kurangnya selama tujuh jam setiap hari sekaligus menjejaskan produktiviti mereka di tempat kerja.

BACA: Semua majikan perlu wujudkan ruang rehat buat pekerja - Boon Chye

Oleh itu, kajian tersebut mencadangkan supaya majikan menyediakan ruang rehat di tempat kerja bagi kemudahan pekerja berehat.