Seorang maut manakala lima lagi cedera selepas kenderaan yang mereka naiki terbabas di Kilometer 39.8 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak hari ini.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Yusuf Unis berkata kejadian pukul 4.30 petang itu menyebabkan Ong Boon Seng, 54, yang memandu kenderaan jenis Toyota Vellfire itu maut di tempat kejadian.

Mereka yang cedera ialah anggota keluarganya Ng Chon Keow, 56, Tan Yoke Hwa, 65, Wong Eason, 15, dan Wong Pei Row, 41, yang semuanya dihantar ke Hospital Bentong untuk rawatan.

Seorang lagi mangsa Wong Siew Wah, 67, yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur kerana parah di kepala dan patah kaki kiri.

"Kenderaan itu difahamkan dalam perjalanan dari arah Genting Highlands ke Raub dan pemandu dipercayai gagal mengawal kenderaan semasa melalui lokasi kejadian.

"Ia menyebabkan kenderaan itu berpusing dan melanggar tembok batu di sebelah kanan jalan," katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987.

-- BERNAMA