Pembangunan pelancongan akan terus diberi perhatian sewajarnya oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) memandangkan sumbangan penting industri itu kepada ekonomi negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata industri pelancongan menjadi penyumbang pertukaran asing kedua terbesar kepada negara dengan mencatatkan ketibaan 25.9 juta pelancong dan menjana pendapatan daripada pelancongan sebanyak RM82.2 bilion tahun lepas.

"Sumbangan pelancongan kepada ekonomi negara ialah kira-kira 15 peratus dan menyediakan peluang pekerjaan kepada kira-kira 3.2 juta orang, meliputi 22.7 peratus daripada jumlah pengambilan tenaga kerja di Malaysia," kata beliau pada majlis makan malam meraikan peserta Pameran Kembara Persatuan Pengembaraan Asia Pasifik (PATA) 2018 di sini Rabu malam.

Menurut beliau, faktor kejayaan bagi pelancongan di Malaysia antara lain disebabkan oleh kestabilan politik, mepunyai kemudahan bertaraf dunia, lokasi strategik, tarikan dan penginapan yang pelbagai, kadar pertukaran mata wang yang menguntungkan, layanan mesra dan makanan yang enak.

"Semua faktor ini mewujudkan persekitaran yang kondusif yang menarik bukan sahaja pelancong tetapi juga pelaburan perniagaan ke Malaysia," kata beliau.