NEW DELHI: Tourism Malaysia akan mengadakan jerayawara di enam bandar raya di India pada bulan ini, untuk menarik pengunjung dari bandar raya utama yang lain.

Kempen itu bermula dari Amritsar di Punjab pada 14 Ogos dan berakhir di Kochi di Kerala pada 25 Ogos.

Lokasi lain ialah Lucknow di Uttar Pradesh, Nagpur dan Pune di Maharashtra serta Goa.

"Pasaran India terus menunjukkan prestasi yang baik dalam usaha kami untuk memulihkan pelancongan, dengan India merupakan antara negara tumpuan dalam semua aktiviti promosi Tourism Malaysia.

"Kami sedang berusaha untuk menarik lebih ramai pelancong dari bandar-bandar utama yang lain. Jerayawara ini merupakan satu daripada kempen pemasaran pelancongan utama kami tahun ini," kata pemangku pengarah pejabat Tourism Malaysia di New Delhi, Akmal Aziz.

Malaysia menyasarkan untuk menarik 462,000 pengunjung dari India pada 2023.

Tourism Malaysia telah menyertai pelbagai acara industri pelancongan di India tahun ini, termasuk pameran SATTE (South Asia Travel and Tourism Exchange), India International Travel Mart (IITM), Travel Wedding Show 2023 dan PATA Annual Summit and Adventure Mart 2023.

Pada Mei, Tourism Malaysia menganjurkan lawatan suai kenal untuk pemain golf India ke Sabah bagi mengetengahkan negeri berkenaan sebagai antara destinasi permainan golf.

-- BERNAMA