Laporan makmal mengesahkan penggunaan 'Agen Saraf VX' dalam kes pembunuhan warga Korea Utara, Kim Jong Nam, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar memaklumkan dalam satu kenyataan, bahan berkenaan dikenalpasti setelah analisa awal dijalankan ke atas beberapa bahan.

"Hasil analisa telah mengenalpasti bahawa bahan yang terlibat ialah Ethly S-2 Diisopropylaminoethyl Methylphosponothiolate atau VX Nerve Agent.

"Ia dikategorikan sebagai senjata kimia dalam Akta Konvensyen Senjata Kimia Malaysia 2005 dan Konvensyen Senjata Kimia 1997," katanya.

Menurut Khalid, Pusat Analisis Senjata Kimia, Jabatan Kimia Malaysia, telah menjalankan analisa awal ke atas beberapa eksibit yang melibatkan satu swab kering pada mukosa mata dan satu lagi swab kering pada muka.

Tambahnya, lain-lain eksibit masih dalam proses analisa jabatan tersebut.

Pada 13 Februari, Jong Nam berada di klia2 pada 8 pagi untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila dua wanita didakwa menyapu mukanya dengan tangan mereka yang dipercayai telah disembur bahan beracun.

Beliau yang merupakan abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, memasuki negara ini pada 6 Februari dengan menggunakan pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Susulan itu, polis Malaysia menahan empat suspek - seorang wanita menggunakan pasport Vietnam, seorang wanita warga Indonesia, seorang lelaki rakyat Malaysia dan seorang lelaki warga Korea Utara.

Lelaki warga Malaysia itu dibebaskan dengan jaminan polis.

BACA: Tiada kerjasama langsung dari pihak kedutaan Korea Utara - KPN

BACA: Kekebalan diplomatik bukan alasan tidak bantu siasatan - Khalid

Pada satu sidang media semalam, Khalid berkata, Malaysia turut memohon empat lagi warga Korea Utara yang dipercayai terbabit dalam pembunuhan Jong Nam disenaraihitamkan pasukan Polis Antarabangsa.

Sebelum ini, polis dilaporkan sedang memburu tujuh suspek rakyat Korea Utara - empat daripada mereka dikatakan telah meninggalkan Malaysia pada hari Jong Nam diserang.

BACA: KPN: Dua suspek wanita bunuh Jong Nam terlatih

BACA: Korea Utara dakwa PDRM sembunyi sesuatu